ZAID Ibrahim bakal berdepan laluan sukar untuk mengubah tanggapan umum masyarakat Melayu di Kelantan terhadap DAP dan seterusnya menyokong Pakatan Harapan (PH) meskipun beliau sendiri anak tempatan yang berpengaruh, kata penganalisis politik.
Zaid akan menghadapi cabaran pemikiran rakyat di Kelantan, termasuk pandangan mereka terhadap DAP yang tidak pernah bertapak kukuh di negeri itu, kata mereka.
Pengerusi penaja DAP Kelantan yang baru dilantik itu mungkin boleh menawan hati rakyat Kelantan di beberapa kawasan seperti Gua Musang dan Kota Bharu, tetapi tidak seluruh negeri, kata penganalisis politik.
“Personaliti Zaid sebagai anak tempatan, pemimpin dahulunya menteri dan menjadi ahli Parlimen memang membantu beliau dalam misinya. Memang kita tahu beliau mempunyai pengikut tegarnya sendiri di Kelantan.
“Namun untuk mempengaruhi rakyat Kelantan secara keluruhannya sangat sukar memandangkan sentimen yang kuat,” kata pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun beliau yakin keadaan mungkin berbeza sekiranya Zaid dapat menarik tokoh utama di Kelantan untuk bersama DAP.
“Itu yang kita mahu tengok sejauh mana kemampuan beliau. DAP akan dianggap berjaya jika mampu tubuh setiap cawangan dan bahagian di Kelantan ini,” katanya.
Zaid adalah ahli Parlimen Kota Bharu antara 2004 dan 2008 semasa beliau bersama Umno. Beliau pada masa itu sempat memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.
Zaid ketika itu mengendalikan portfolio undang-undang namun letak jawatan selepas bertelagah pandangan dengan kerajaan.
Bekas peguam itu dilantik mengetuai DAP di Kelantan, yang sedang berusaha melebarkan sayapnya di negeri yang dikuasai parti Islam hampir 30 tahun lalu.
DAP kini mempunyai 6,000 ahli di Kelantan dari 38 cawangan. Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 hanya ada tujuh cawangan di seluruh negeri itu, kata kata Setiausaha DAP negeri Chua Chin Hui.
Daripada 38 cawangan itu, 8 daripadanya di Gua Musang dengan keahlian melebihi 2,000 orang, tambah Chua.
DAP juga mempunyai ahli Melayu melebihi 1,000 orang dan mempunyai tujuh cawangan di Kota Bharu.
Zaid menyertai DAP pada Februari 2017 namun setahun selepas itu mengkritik pimpinan parti yang beliau dakwa mengetepikannya menjelang pilihan raya umum yang lalu.
Kamarul menambah ada kemungkinan pelantikan Zaid untuk mengetuai DAP di Kelantan satu petunjuk beliau sedang ditempah untuk jadi calon pilihan raya akan datang.

“Memang gerakan sangat jelas beliau cuba kembali aktif dalam politik dan pegang jawatan tersebut. Sebelum ini beliau tidak pernah diberi peluang oleh pimpinan.
“Sekarang ini telah diberi peluang dan beliau sudah ada platform untuk kukuhkan kedudukannya dan meraih sokongan,” katanya.
Sementara itu, calon doktor falsafah di Universiti Malaysia Kelantan, Fadzlul Rahimi Ahmad Bustami berkata pelantikan Zaid mengetuai DAP di Kelantan tidak mengubah status quo sokongan majoriti setakat ini.
“Ia hanya asas yang kuat bagi DAP Kelantan untuk maju,” katanya.
Namun katanya pelantikan Zaid memberikan sedikit momentum kepada DAP untuk melebarkan pengaruhnya di Kelantan.
“Ini kerana sebelum ini DAP tidak ada tokoh di Kelantan untuk mengemudi dan Zaid mempunyai pengikut sendiri, terkenal sebagai tokoh yang rajin turun ke padang.
“Zaid pernah berada di arus massa politik Kelantan,” katanya, merujuk kepada jawatan beliau dalam Umno dan kerajaan sebelum ini.
Fadzlul sebelum ini menerbitkan kajian penyelidikan bertajuk “Corak undi Melayu dan masa depan Pakatan Harapan di Kelantan”, bersama pensyarah UMK Profesor Madya Dr Yohan Kurniawan.
Mengulas lanjut, Fadzlul melihat penolakan rakyat Kelantan terhadap PH bukan kerana mereka konservatif.
Katanya, masyarakat Kelantan mempunyai sentimen terhadap budaya, bahasa dan amalan agama yang agak kuat selain sifat kesetiaan kepada tokoh setempat.
Mereka menolak DAP selama ini kerana melihatnya sebagai “parti asing” yang tidak wujud dalam aktiviti akar umbi masyarakat selama ini, katanya. – 24 Januari, 2020.
Komen