Pakatan tiada duit, gerakkan parti di Kelantan, kata akar umbi


Diyana Ibrahim

Pemimpin PH akar umbi di Kelantan berdepan masalah peruntukan yang menyebabkan mereka tidak dapat menjalankan banyak program rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2020.

PAKATAN Harapan (PH) di Kelantan terbelenggu masalah tiada hala tuju yang jelas dan tiada peruntukan dari pusat untuk operasi di peringkat cawangan dan bahagian sehingga menyukarkan parti untuk meraih sokongan baru, kata pemimpin di akar umbi.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, dua masalah itu melemahkan gerakan di akar umbi dan menyulitkan mereka mengatur program untuk mendekati rakyat.

Seorang pemimpin PH akar umbi di Kelantan berkata isu paling kritikal bagi mereka ialah tiadanya peruntukan dari pusat sehingga menyebabkan tidak banyak bantuan dan program rakyat dapat mereka jalankan.

Beliau yang enggan identitinya didedahkan berkata keadaan itu menyukarkan mereka menyaingi Umno sebelum ini yang lebih aktif membuat pelbagai program untuk rakyat.

“Jadi rakyat nampak macam PH ini lemah sebab dulu macam-macam program dan kebajikan yang Umno buat.

“Rakyat dah terbiasa dengan cara ini, bila mereka minta dengan pimpinan PH, kami tak dapat nak tunaikan, jadi rakyat tak dapat rasa nikmat kemenangan PH,” katanya, yang dikenali kerana sensitiviti hal yang didedahkannya.

Menurut pemimpin akar umbi itu mereka terpaksa mencari dana sendiri untuk menampung program yang dijalankan peringkat kawasan atau cawangan.

Keadaan itu agak mengecewakan, katanya, dan tidak sepatutnya berlaku pada parti pemerintah.

“Dulu mungkin kita tak rasa sangat bila guna duit sendiri, tapi sekarang bila dah jadi kerajaan masih lagi kena keluarkan duit sendiri,” katanya.

Tambah memburukkan keadaan, beliau kini dibelenggu hutang akibat masalah itu.

“Saya sendiri masih berhutang RM40,000 dengan tauke kedai sebab buat program ‘balik ke sekolah’ tahun lepas.

“Kalau kita tak buat orang bawah akan kata macam-macam pada PH,” luahnya.

PH patut ada kerajaan bayangan di Kelantan

Pemimpin akar umbi itu berpendapat mereka tidak akan berdepan masalah peruntukan sekiranya PH menubuhkan kerajaan bayangan di Kelantan seperti yang Barisan Nasional (BN) dahulu.

Katanya semasa BN memerintah persekutuan, pemimpin parti dapat bertindak sebagai wakil kerajaan pusat apabila program dan projek disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan.

Pada PRU14 lalu, PH kalah teruk di kesemua 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi negeri Kelantan yang dipertandingkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2020.

Pemimpin itu berkata keadaan sekarang berbeza, dan beliau menyifatkan PH di Kelantan tidak ubah “seperti anak buangan”.

“PAS pun tidak layan PH Kelantan macam kerajaan pusat. Terbaru peruntukan RM400 juta dari kerajaan pusat tidak ada manfaat buat kami kerana ia terus kepada kerajaan negeri.

“Yang pastinya bila rakyat jumpa kami minta nak baiki rumah, bantuan persekolahan, kami tidak dapat bagi.

“PH menang ke kalah, kami sama macam dulu dan payah untuk kami sekarang ini nak tarik sokongan rakyat beralih daripada PAS atau Umno,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, walau PH menang di Putrajaya namun parti itu kalah teruk di kesemua 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi negeri yang dipertandingkan.

Kebanyakan calon PH di Kelantan tidak mendapat undi melebihi 1,000.

Nama besar pimpinan PH di Kelantan, seperti Husam Musa yang juga pengerusi Pakatan negeri itu, kalah teruk di DUN Salor. Husam juga kalah kerusi Parlimen.

Di DUN Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz, yang disifatkan tarikan besar semasa kempen PRU14, juga kalah teruk.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin akar umbi PH di Kelantan mengakui masalah yang sama namun kata masalah itu tidaklah berlaku di semua bahagian.

“Ada bahagian yang okay, ada yang tidak… tengok siapa yang mengetuai bahagian itu, 

“Tapi secara kasarnya begitulah yang berlaku, bila kata PH Kelantan tidak berfungsi, ini lah sebabnya. Kita tak dapat banyak buat program macam BN dulu, jadi rakyat nampak kita pasif,” katanya.

Seorang lagi pemimpin bahagian berkata masalah hala tuju PH Kelantan yang tidak jelas itu menyebabkan timbul masalah komunikasi di peringkat akar umbi.

“Masalahnya sama. PH ini ada tentera, ada senapang tetapi peluru tidak ada

“Dan bila tidak ada arahan, tidak ada kerja. Kadang- kadang askar kita berkelahi sesama sendiri,” katanya. – 24 Januari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen