Artifak tua di Gunung Pulai bukti kuari perlu dihalang


Zaim Ibrahim

Penduduk dan aktivis berharap penemuan artifak buka mata kerajaan Kedah untuk mengangkat kawasan gunung itu sebagai produk pelancongan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Januari, 2020.

PENEMUAN artifak prasejarah di kawasan Gunung Pulai di Baling, Kedah menguatkan lagi tuntutan agar kawasan itu dipelihara dan dilindungi daripada sebarang kegiatan kuari.

Pengarah Jabatan Warisan Negara Mesran Mohd Yusop berkata, artifak yang ditemui menunjukkan gua di Gunung Pulai pernah menjadi tempat tinggal manusia sejak 17,000 tahun lalu.

“Kita sangat berharap supaya ia (kawasan Gunung Pulai) dapat dipelihara sebab generasi akan datang memerlukan bukti ini untuk mereka bercakap tentang sejarah tempat mereka.

“Tanggungjawab kami untuk memastikan sesuatu tempat itu dipelihara, tidak dikacau ganggu,” kata beliau kepada pemberita di Baling berkenaan penemuan beberapa artifak di tiga gua di Gunung Pulai.

Tiga gua tersebut adalah Gua Kambing, Gua Lesung dan Gua Tembus.

Artifak pecahan tembikar, alat penukul, dan kulit siput sungai yang ditemui dalam gua tersebut membuktikan terdapat penempatan manusia awal di kawasan berkenaan.

Pengkaji juga percaya terdapat sungai wujud pada zaman itu berikutan penemuan kulit hidupan siput sungai, yang dipercayai menjadi sumber makanan bagi masyarakat zaman itu.

Mesran turut berkata, penemuan itu dapat membuktikan kependudukan zaman prasejarah di Kedah.

Pengarah Jabatan Warisan Negara Mesran Mohd Yusop (tengah) berkata, artifak yang ditemui membuktikan gua di Gunung Pulai pernah menjadi tempat tinggal manusia lebih 17,000 tahun Sebelum Masihi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Januari, 2020.

“Artifak ini dianggar berusia 17,000 tahun dengan sebahagian daripada artifak telah dihantar ke Singapura untuk menentukan usianya secara lebih tepat.

“Jika benar artifak ini berusia 17,000 tahun ini bermakna ia antara penempatan tertua di negeri ini malah lebih tua daripada Sungai Batu di Merbok,” tambahnya.

Ia lebih tua dari kawasan arkeologi Sungai Batu di Merbok, dianggar berusia 2,000 tahun, yang sudahpun diisytiharkan antara tamadun tertua di Asia Tenggara sejak Mei 2016.

Aktiviti penggalian Gunung Pulai dijalankan tiga kali sejak 2012 membabitkan Jabatan Warisan Negara, Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ahli Arkeologi daripada Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM Dr Zuliskandar Ramli berkata, penemuan menunjukkan kewujudan manusia zaman Mesolitik, Neolitik dan Orang Asli.

“Daripada segi bukti (penemuan awal manusia) itu ada tapi daripada segi ekologi belum ada.

“Untuk ekologi yang lebih terperinci kita perlu tambahkan kajian, tidak boleh bergantung kepada penemuan awal,” jelasnya.

Kawasan kajian arkeologi Gunung Pulai itu terletak kira-kira 100 meter daripada kawasan kuari yang dipunyai oleh Yiked Holdings Sdn Bhd.

Projek kuari itu diluluskan sejak 2014 lagi namun kerja letupan dan pengeluaran mineral belum dijalankan.

Penduduk, sejarawan dan aktivis alam hanya mula membantah setelah pengusaha mendapat surat warta pengambilan tanah untuk laluan ke tapak kuari pada April 2018.

Sebahagian daripada artifak yang ditemui di dalam gua Gunung Pulai di Baling, Kedah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Januari, 2020.

Hasilnya, aktiviti kuari itu kini diberhentikan sementara dan kerajaan Kedah dilaporkan bersetuju mencari tapak baharu.

Penduduk dan aktivis alam sekitar bimbang kuari itu akan menjejaskan keindahan alam sekitar di Gunung Baling, yang menjadi tarikan pelancong.

Antaranya Jawatankuasa Bertindak Bantahan Kuari Gunung Pulai yang kini berharap penemuan itu membuka mata kerajaan negeri untuk mengangkat kawasan gunung itu sebagai produk pelancongan.

Pengerusinya Mohd Saberi Mahmood berkata mereka bersyukur kerana operasi kuari itu dihentikan kerana dapat menyelamatkan nilainya yang lebih besar berbanding mineral kuari.

“Keindahan lokasi (pelancongan) bukan pulau sahaja tetapi sejarah. (Kita) agak ketinggalan berbanding negara luar yang lebih menghargai sejarah sedangkan kita pun ada.

“Aktiviti kuari itu memang boleh beri keuntungan tetapi bukan kepada rakyat, bukan kerajaan pun yang memiliki syarikat kuari itu.

“Berbeza dengan aktiviti pelancongan, masyarakat kampung pun boleh mencari rezeki dengan membuka gerai makanan atau jual alatan kraftangan,” jelasnya kepada The Malaysian Insight. – 22 Januari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen