Bekas ketua Interpol dihukum penjara 13 tahun


Bekas ketua Interpol Meng Hongwei mengaku bersalah menerima rasuah RM8.5 juta. – Gambar AFP, 21 Januari, 2020.

BEKAS ketua Interpol Meng Hongwei, yang ditahan ketika lawatan ke China pada 2018, hari ini dijatuhi hukuman lebih 13 tahun penjara kerana rasuah, dalam kes yang menggemparkan organisasi polis antarabangsa.

Meng - bekas naib menteri keselamatan awam - adalah antara kumpulan kader Parti Komunis yang semakin bertambah dalam kempen anti-rasuah Presiden Xi Jinping, yang dikatakan para pengkritik juga berfungsi sebagai cara untuk menghapuskan musuh politik pemimpin.

Beliau hilang semasa lawatan ke China dari Perancis, di mana Interpol berpengkalan, dan kemudian dituduh menerima rasuah dan diusir daripada Parti Komunis.

Isterinya diberikan suaka politik di Perancis tahun lalu selepas memberitahu bimbang beliau dan dua anaknya akan menjadi sasaran percubaan menculik.
Meng dihukum penjara 13 tahun dan enam bulan serta didenda dua juta yuan (RM1.2 juta), kata  Mahkamah Rakyat Pertengahan Utama Tianjin.

Semasa perbicaraannya pada Jun lalu, beliau mengaku bersalah menerima rasuah AS$2.1 juta (RM8.5 juta) selepas mahkamah berkata beliau menggunakan status dan kedudukannya untuk “memperoleh faedah secara tidak wajar” dan mengumpul rasuah.

Kenyataan mahkamah hari ini berkata, Meng “jujur mengaku terhadap semua fakta jenayah” dan tidak akan merayu keputusan itu. – AFP, 21 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen