CONVENT Light Street tidak akan ditutup, dijual atau di bangunkan semula, kata pengerusi lembaga pengarahnya Tan Leh Sah.
“Tiada masalah. Ia tak akan ditutup, tak akan dijual, tak akan dibangunkan semula,” kata Tan kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi hari ini.
“Ia sekolah berusia 165 tahun, sekolah kebanggaan kami.”
Akhbar tempatan semalam melaporkan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang telah mengarahkan sekolah rendah dan sekolah menengah Convent Light Street serta SMK Convent Pulau Tikus ditutup.
Convent Light Street dikatakan sekolah mubaligh tertua di Malaysia, manakala SMK Convent Pulau Tikus diasaskan pada 1900-an.
Khabar mengatakan pemilik tanah sekolah, The Sisters of Infant Jesus Malaysia (IJS), mahu mengambil semula tanah untuk menjadikan ketiga-tiga sekolah itu sekolah swasta antarabangsa.
Bagaimanapun, Tan berkata media memutar-belitkan isu sehingga mereka diselar oleh pengguna media sosial.
“(Malahan) pada 1900-an, ketika kami mengutip dana (untuk Convent Light Street), IJS bertegas mengatakan yang sekolah itu bukan untuk dijual,” katanya.
IJS semalam mengeluarkan satu kenyataan menafikan sebarang niat menjual tanah dan sekolah untuk pembangunan semula.
“Kami mempunyai sejarah panjang di Malaysia dan (mahu) mengekalkan sejarah kami- sama ada mendidik orang muda atau/dan mengekalkan bangunan bersejarah- sangat dekat di hati kami,” kata Sr Celina Wong daripada ISJ dalam satu kenyataan semalam.
Sebelum ini sepucuk surat dikeluarkan Jabatan Pendidikan Timur Laut Pulau Pinang mengatakan semua sekolah terlibat tidak lagi mengambil pelajar baru bermula pada 2018. Bagaimanapun, surat itu ditarik balik dan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Shaari Osman mengatakan beliau tidak pernah mengeluarkan arahan itu dan meminta spekulasi penutupan sekolah dihentikan.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengatakan kerajaan negeri tidak akan meluluskan rancangan pembinaan semula di tanah tapak sekolah itu.
“Kerajaan negeri mungkin tidak berkuasa dalam perkara ini tetapi kami tak akan luluskan apa sahaja rancangan pembangunan semula di tanah itu,” kata Lim.
Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon semalam berkata kementerian tidak memutuskan untuk menutup ketiga-tiga sekolah itu.
Bagaimanapun, beliau berkata pemilik tanah boleh menuntut balik tanah itu pada bila -bila masa yang mereka mahu dan menggesa IJS menggunakannya untuk tujuan pendidikan. – 4 November, 2017.
Komen