BEBERAPA tahun lalu, seorang anak muda mempelajari skim pelaburan, pertukaran mata wang asing dan perdagangan saham menerusi Internet.
Enam bulan kemudian, dia memulakan skim pelaburan pilihan binari tetapi gagal teruk.
Tidak berputus asa, dia tekad belajar mengenai pengurusan risiko. Jadi dia bekerja di sebuah kasino di Amerika Syarikat. Pada masa sama, dia mendaftar untuk menyertai kursus bagi mengetahui lebih mendalam mengenai pertukaran wang asing dan pertukaran saham.
Pada 2014, pemuda itu kembali ke Malaysia, belajar di rumah dan “bersiap sedia” dengan beberapa idea mengenai skim pelaburan.
Pada 2015, dia bertemu seorang pedagang dan skim JJPTR tercipta, satu skim yang menarik ribuan pelabur dengan janji pulangan 20% tetapi kini berdepan bahaya ia terkubur, menyebabkan kerugian RM500 juta dan pelbagai persoalan.
Inilah Johnson Lee, ini kisahnya. Atau sekurang-kurangnya inilah cerita pemuda berusia 20 tahun itu beritahu semua orang.
Bukanlah ia kisah si miskin ke kaya tetapi sedikit tersekat antara kedua-duanya. Sukar untuk disahkan mana-mana bahagian kisah itu kerana Johnson kini menghilangkan diri.
Sejak berita JJPTR (JJ Poor to Rich) – skim perdagangan mata wang asing tidak berdaftar – berdepan masalah tersebar, dia berkomunikasi dengan pelaburnya hanya menerusi rakaman suara di laman Facebook.
Dalam rakaman suara terkini, dia berjanji untuk memulangkan wang kepada pelabur yang berkata mereka menanggung kerugian.
“Saya jamin saya akan membayar semula wang itu. Berapa lama? Ia akan lebih cepat berbanding deposit tetap bank. Ini saya berani jamin. Setiap sen akan dipulangkan.”
Johnson kemudian bercakap mengenai pelan pelaburan baharu yang lain dan berkata dia sedang mendapatkan beberapa profesional untuk mengesan siapa yang menyebabkan masalah kepada JJPTR dan pelaburnya.
Suaranya kedengaran yakin, keyakinan sama ditunjukkan pada seminar pelaburan yang dihadiri Simon di Pulau Pinang tahun lalu.
“Johnson sudah hampir selesai bercakap ketika saya masuk ke seminar itu. Saya ingat mendengar dia bercakap dalam bahasa Inggeris dengan baik. Sangat lancar,” kata Simon yang bekerja di sebuah kilang.
Dia ingat Johnson dilahirkan di Amerika dan juga boleh bercakap bahasa Mandarin dengan fasih.
Pemeriksaan The Malaysian Insight menunjukkan Johnson masih bujang, menetap di George Town dan mempunyai kira-kira 12,200 pengikut di Facebook.
Di Fecebook, dia memperkenalkan dirinya sebagai “pelabur dan pegawai pemasaran….tetapi lebih penting ialah menjadi majikan yang baik untuk mengubah kehidupan orang lain”.
Terdapat juga gambarnya bersama beberapa orang lain pada pembukaan cawangan JJPTR. Ada juga gambar menunjukkan dia sedang memberi ceramah di seminar.
Menurut laman web jjptr-global.blogspot.my, Johnson berkata dia dilahirkan di California pada 1989, mendapat keputusan baik dalam Matematik dan Sains tetapi gagal Bahasa Malaysia, menyebabkan dia tidak dapat melanjutkan pelajaran di universiti tempatan di Malaysia.
Ibu bapa Johnson menjual rumah mereka di Malaysia dan menghantar dia dan adiknya belajar di US. Tidak jelas sama ada dia tamat pengajian atau tidak.
Yang turut membingungkan ialah kenapa ribuan rakyat Malaysia sanggup melabur duit mereka dalam skim yang dijalankan seorang pemuda tanpa pengalaman kewangan atau perbankan? Untuk sesetengah orang mungkin kerana tamak. Bagi yang lain, ia peluang untuk mendapatkan sedikit duit belanja.
Pulang modal
Simon, yang berusia 30-an berkata dia tidak begitu risau seperti pelabur JJPTR lain, yang kini takut mereka tidak akan dapat kembali wang masing-masing daripada skim itu.
“Saya sudah pulang modal awal tahun ini,” katanya.
Simon berkata dia melabur AS$1,000 dan menerima AS$200 setiap bulan sebagai pulangan, berdasarkan kepada dividen 20% yang dijamin kepada pelabur.
Dalam tempoh lima bulan, dia dapat semula semua modalnya.
“Kaedah mereka seperti ini. Anda beli RM4.60 setiap dolar, dan jual pada RM4.20. Jadi kalau saya hendak keluarkan pelaburan saya sekarang, saya dapat RM4,200.
“Tetapi dengan masalah dihadapi JJPTR sekarang, saya rasa mereka bayar pelabur paling baru dulu. Orang seperti saya bukan keutamaan kerana sudah pulang modal,” katanya.
Jaminan pulangan terlalu menarik
Dengan jaminan menarik pulangan 20% setiap bulan, ramai yang menyertai skim itu walaupun tidak jelas berapa ramai dan berapa jumlah wang diterima JJPTR.
Simon berkata dia tahu beberapa orang meletakkan AS$1,000 dan kemudian menambah lagi wang bila pelaburan mereka pulang modal.
“Saya dengan beberapa suami isteri bergabung pelaburan yang bernilai lima angka sekarang. Mereka mula melabur sebaik saja selepas JJPTR dilancarkan pada 2015 dan teruskan menambah nilainya.
“Anda boleh tambah wang selepas pulang modal. Tetapi hanya sehingga empat kali. Mungkin sekarang lima kali. Saya tidak ingat syarat dan peraturanya,” katanya.
Skim itu tersebar luas dari mulut ke mulut, dengan mereka yang mula menikmati pulangan biasa mengajak ahli keluarga dan rakan menyertai JJPTR.
Simon juga mengajak tiga ibu saudaranya, dua bapa saudara dan seorang sepupu untuk melabur dalam skim pertukaran wang asing.
Katanya, mereka terlalu risau dengan berita itu yang JJPTR akan terkubur kerana pelaburan mereka kecil.
“Hanya beberapa ratus dolar. Tetapi saya ada orang yang risau. Saya ada rakan sekerja main duit seperti ini dan dia nampak risau. Saya rasa pelaburannya besar,” katanya.
Merekrut pelabur baharu
Simon berkata pelabur dapat komisen jika membawa orang lain menyertai skim itu.
Dia juga mengetahui mengenai JJPTR menerusi seorang pengurus kilang di situ tahun lalu. Katanya ramai pekerja lain di kilang bercakap mengenainya.
“Anda biasanya tahu mengenai perkara seperti ini daripada rakan sekerja. Ramai orang di kilang ini risau mengenai kerja mereka dan peningkatan kos sara hidup.
“Ekonomi tidak bagus, kerja tidak seperti dulu, bonus kena potong, kenaikan gaji terlalu sedikit. Jadi bila orang dengar skim macam ini, mereka akan labur,” katanya.
Johnson berjaya menarik ramai orang dengan janji jaminan pulangan 20%.
Dia tahu pelaburan awal serendah AS$1,000 dianggap berisiko rendah bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Dia tahu kebanyakan mereka tidak kisah tentang latar belakangnya sehinggalah ia sudah terlambat. – 27 April, 2017.
Komen