Pusat agihan makanan di setiap wilayah di seluruh negara, kata menteri


Ravin Palanisamy

Sukarelawan dari UKM memeriksa stok makanan untuk Bank Makanan Malaysia di sebuah gudang di Kajang, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh nazir Sufari, 21 Januari, 2020.

PROGRAM Bank Makanan Malaysia (FBM) akan dilancarkan di seluruh negara melalui pusat agihan lebih kecil di semua wilayah utama negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail.

Pusat agihan terbesar di Kajang, Selangor, meliputi kawasan seluas 13,000 kaki persegi, yang dilancarkan oleh menteri hari ini.

Pusat yang terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Angkat menjadi lokasi utama pengumpulan dan pengedaran sehenti.

Dengan memiliki pusat agihan di setiap rantau di seluruh negara, makanan boleh diedarkan dengan lebih cekap, kata Saifuddin.

“Menjadi harapan kami untuk memiliki pusat agihan bank makanan di timur, selatan, tengah dan utara.

“Jika kita boleh mempunyai pusat agihan di setiap rantau, semuanya akan bergerak dengan lebih pantas,” katanya pada pelancaran hari ini.

Tempat agihan di wilayah utara di Bandar Baharu Kulim sudah dikenal pasti dan sedang menjalani kerja pengubahsuaian.

“Sebahagian makanan yang dikumpul di sini (di Kajang) akan dibawa ke Kulim dan mengumpul makanan dari utara juga akan diletakkan di sana.

“Ia berada di lokasi pedalaman tetapi strategik, bersempadan dengan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Perak dan Kedah.”

Program FBM yang bermula pada Ogos 2018, mengumpul dan menyalurkan makanan kepada kumpulan yang memerlukan dan juga bertujuan mengurangkan pembaziran makanan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dihubungkan dengan pemain dalam industri makanan seperti pasar raya besar, pasar raya, pengeluar, restoran dan hotel.

Kementerian ini juga bekerjasama dengan Bank Makanan Mutiara, Yayasan Makanan dan Kechara Soup Kitchen, untuk membantu pengagihan bantuan makanan kepada kumpulan sasaran.

Saifuddin berkata sejak Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Penderma Makanan 2019 diluluskan di Parlimen, FBM menerima lebih banyak sumbangan. 
Ia juga satu daripada beberapa projek yang dipelopori kerajaan dengan sedikit pembiayaan kerana memperoleh sokongan besar daripada sektor swasta.

Kini, terdapat 430 cawangan pasar raya yang menyumbang kepada program ini.

“Hampir semua pasar raya terkemuka di negara ini dan hotel menyertai program ini.”

Semenjak penubuhannya pada Ogos 2018, program ini memberi manfaat kepada hampir 480,000 keluarga di bawah garis kemiskinan serta 12,000 pelajar. 
Ia juga menyelamatkan 1,984 tan metrik makanan yang boleh dimakan daripada dibazirkan. – 21 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen