MENTERI Sumber Manusia M. Kula Segaran menepis dakwaan bahawa pasaran buruh lembap di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya berkata kira-kira 150,000 pekerjaan diwujudkan tahun lalu.
Jumlah itu adalah sebahagian daripada 700,000 pekerjaan di seluruh negara yang diiklankan di portal carian kerja JobsMalaysia.
Separuh daripada iklan di portal kendalian kerajaan itu adalah untuk pekerjaan mahir dan separuh mahir seperti peguam, jururawat dan jurutera, kata Kula.
“Ada dakwaan bahawa tiada peluang kerja untuk golongan belia dan pekerja kita,” katanya selepas menyampaikan mesej Tahun Baharu di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya hari ini.
“Tetapi portal JobsMalaysia menunjukkan terdapat 700,000 pekerjaan untuk pelbagai profesion, daripada peguam, jurutera hinggalah juruteknik.
“Ini adalah jumlah peluang kerja yang tidak diisi, jadi dakwaan itu tidak benar. Kadar pengangguran juga rendah iaitu pada 3.3%, dan kita telah mewujudkan lebih daripada 100,000 kerja baharu tahun lalu,” jelas menteri itu, merujuk kepada salah satu pencapaian kementeriannya pada 2019.
Seramai 131,618 orang berjaya mendapat pekerjaan yang bersesuaian menerusi JobMalaysia, manakala seramai 7,147 graduan dihasilkan Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).
ILJTM adalah sebahagian daripada usaha kerajaan PH untuk menyediakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional yang membolehkan graduan memperoleh pekerjaan berpendapatan tinggi seperti juruteknik dan pengimpal. – 21 Januari, 2020.
Komen