PUTRAJAYA telah meminta bantauan daripada Persatuan Pengguna Islam (PPIM) untuk menjadi “mata” pihak berkuasa bagi menghapuskan aktiviti perjudian di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Walaupun ini adalah tanggungjawab polis, Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata mereka telah meminta bantuan PPIM bagi membanteras ancaman ini.
“Kementerian bersama pihak polis melawan aktiviti perjudian. Ini tanggungjawab mereka, tetapi kami berharap PPIM akan bantu polis,” katanya pada Forum Pengguna Ke-7 di Menara Felda di Kuala Lumpur hari ini.
PPIM yang ditubuhkan pada Jun 1997, mempunyai empat juta ahli di seluruh negara dan ditubuhkan atas inisiatif sekumpulan profesional merangkumi doktor, pensyarah universiti, agamawan dan individu yang prihatin terhadap isu-isu kepenggunaan dalam Islam.
Matlamat PPIM ialah untuk melindungi dan mempertahankan hak serta memulihkan martabat pengguna Islam melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti proaktif dan strategik.
Zahid juga menyerahkan RM500,00o kepada PPIM bagi menjalankan aktiviti mereka.
Beliau berkata Ketua Polis Negara telah memberinya laporan harian berkaitan operasi ke atas pusat-pusat judi.
“Polis telah menjalankan lebih daripada 7,900 operasi tahun ini. Tetapi, sedikit wang yang dirampas.
“Polis perlu lebih cekap dan bijak daripada penjenayah,” kata Zahid.
Zahid juga berkata terdapat satu lagi isu dengan jenayah kolar putih di negara ini.
“Penipuan cinta (love scam), penipuan Afrika dan Macau, dan kesemua mangsa adalah rakyat Malaysia.
“Setakat ini kita telah mengekstradisi 419 warga asing yang terlibat dengan penipuan ini ke negara asal mereka.
“Malah di Kemboja, mereka telah mengekstradisi 300 orang yang terlibat dengan penipuan ini,” tambah Zahid. – 4 November, 2017.
Komen