PENDAKWAAN pengubahan wang haram terhadap Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan tiada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata peguam kepada pemimpin Umno itu.
Hamidi Mohd Noh berkata pendakwaan terhadap Ahmad mungkin mempunyai kaitan dengan kegagalannya untuk mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan tidak ada menyebut tentang 1MDB.
“Anak guam saya didakwa kerana tidak membayar cukai bagi RM2 juta yang didakwa diterimanya. Itu sebabnya ia di bawah AMLA. Kerana cukai yang tidak diisytihar,” kata Hamidi, yang menggunakan singkatan bagi Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
“Apa yang menarik adalah dari awal lagi terdapat dakwaan ia berkaitan wang 1MDB tetapi hari ini, saya tidak melihat sebarang perkataan 1MDB.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ahmad membayar ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad yang merupakan bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, minta dibicarakan atas dua pertuduhan di bawah akta pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen hari ini.
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa gagal mengisytiharkan kepada LHDN, RM2 juta yang diterima dalam bentuk cek daripada bekas perdana menteri Najib Razak bertarikh 27 November, 2013, yang turut beliau tunaikan pada hari yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 April, 2014 di LHDN, Cawangan Duta, di Kuala Lumpur.
Bagi pertuduhan kedua, Ahmad juga didakwa memberi penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai, 2019.
Hamidi berkata, bagi pertuduhan kedua, kenyataan pembelaan anak guamnya yang diberikan ketika disoal siasat kini digunakan untuk mendakwanya.
“Sesiapa yang disoal siasat oleh polis atau pihak berkuasa lain akan menafikan mereka melakukan kesalahan.
“Kini kenyataan bahawa beliau tidak menerima wang itu digunakan terhadapnya kerana membuat kenyataan palsu.”
“Kita akan lawan kes ini, insya-Allah kita macam mana nanti,” katanya.
Sementara itu, Ahmad mengulangi kenyataannya menafikan menerima wang daripada Najib.
“Saya tak terima satu sen pun, mengapa saya perlu bayar kompaun RM5 juta,” kata Ahmad kepada pemberita di kompleks mahkamah hari ini.
Beliau dibenarkan ikat jamin RM500,000 dan diarah menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.
Pertuduhan pertama membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Manakala bagi pertuduhan kedua, Ahmad boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – 21 Januari, 2020.
Komen