Polis tunggu pengesahan identiti individu dalam rakaman audio SPRM


Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata identiti individu dalam rakaman perbualan didedahkan SPRM minggu lalu, akan disahkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2020.

POLIS akan mengesahkan identiti individu yang rakaman perbualan mereka didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum minggu depan, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Katanya, polis akan mengambil keterangan mereka selepas identiti mereka disahkan.

“Mereka yang didakwa suara dalam rakaman audio itu, apabila dapat disahkan suara itu milik sesiapa, individu tersebut akan dipanggil untuk diambil kenyataan,” katanya seperti dipetik Bernama di Ipoh, hari ini.

Pada 8 Januari lalu, SPRM memainkan sembilan rakaman audio termasuk yang didakwa antara bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, ketika itu pendakwa raya kanan di Pejabat Peguam Negara, dan bekas perdana menteri Najib Razak mengenai siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perbualan itu menunjukkan ada kebocoran maklumat siasatan kes daripada pegawai yang terlibat dalam siasatan dengan pihak yang disiasat.

Rakaman audio lain melibatkan perbualan antara Najib dan isteri Rosmah Mansor, dan Najib bersama putera Emiriah Arab Bersatu.

Perbualan itu didakwa berlaku selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan tindakan saman sivil untuk mendapatkan balik dana yang diseleweng dari 1MDB.

SPRM mendakwa semua rakaman itu berlaku antara 5 Januari dan 29 Julai, 2016. Ia dirakamkan oleh individu yang setakat ini tidak dinamakan, dan agensi anti rasuah juga percaya rakaman berkenaan tulen.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya minggu lalu memberi keterangan selama hampir empat jam kepada polis di Bukit Aman.

Polis juga mengambil keterangan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki serta lima pegawai lain.

Sementara itu, Hamid berkata polis sedang giat menjalankan siasatan berhubung dakwaan adanya komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi dan imej SPRM serta Latheefa.

SPRM pada 14 Januari lepas membuat satu laporan polis terhadap beberapa individu termasuk seorang peguam yang didakwa menjadi dalang dalam komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi mereka.

Laporan polis itu dibuat sebagai mesej yang jelas kepada dalang-dalang berkenaan bahawa SPRM tidak tergugat atau terancam dengan ugutan, kata Latheefa. – 21 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen