SEBAIK Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald trump memulakan lawatan ke Asia, sekali lagi Perdana Menteri Najib Razak mengulang pakai skrip kenapa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad melabur di AS.
“Kita datang ke AS untuk tunjuk kepada Donald Trump kita datang bukan untuk minta sedekah tapi kita datang sebagai sebuah negara yang berjaya sampai boleh buat pelaburan di luar negara.
“Negara lain datang minta pinjaman tapi kita datang beritahu pada Trump kita berjaya sebab perjuangan Umno selama ini,” katanya berucap di Konvesyen Media Sosial Umno di PWTC hari ini.
Dalam lawatannya ke White House 13 September lepas, beliau telah berkata kepada pemberita bahawa KWSP dan Khazanah akan mengembangkan pelaburannya di AS, selain lebih banyak kapal terbang Boeing akan dibeli untuk mengukuhkan ekonomi AS.
KWSP dijangka melabur antara USD3 bilion dan USD4 bilion (RM13 bilion dan RM17 bilion).
Lawatan Trump ke Asia merangkumi Jepun, Korea utara, China, Vietnam dan Filipina.
Kata Najib, dasar pelaburan ke luar negara sudah lama dibuat sejak tahun 2000 lagi dan bukan ketika beliau menjadi perdana menteri.
Tambah beliau, kerajaan juga tidak akan mengambil risiko untuk membuat pelaburan wang KWSP dalam negara sahaja dan berdepan masalah jika ia mengalami kerugian.
“Bila untung kita akan bawa balik dan tambah dividen. KWSP ada RM780 bilion dana. Takkan semua nak labur dalam negara.
“Kalau jatuh saham, siapa yang akan rugi, rakyat Malaysia akan rugi.Jadi kita ada dasar pelbagaikan sumber.
“Pelaburan bukan di AS sahaja, tapi negara lain juga, kalau satu pasaran jatuh yang lain boleh beri pulangan.”
Selain itu perdana menteri itu juga dilihat sekali lagi menafikan lawatannya ke AS merupakan lawatan yang berbayar.
Beliau berkata demikian merujuk kepada tuduhan Dr Mahathir Mohamad.
Malah kata Najib, pengerusi Bersatu itu sehingga kini gagal untuk menjawab dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu juga turut membayar lawatannya di AS.
“Saya tak bayar perunding jumpa Trump. Saya kata zaman dia pun berbayar. Dia tak jawab satu pun.
“Saya tahu siapa bayar… saya tahu, saya tahu cara bagaimana dia bayar… saya tahu. Jadi tak usahlah. Kalau Trump nak hantar saya ke kereta saya, suka hati dialah.” – 4 November, 2017.
Komen