PAKATAN Harapan (PH) perlu ambil perhatian amaran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya berubah menjadi lebih baik jika tidak mahu menjadi kerajaan sepenggal, kata Zuraida Kamaruddin.
Naib presiden PKR itu berkata kini terpulanglah kepada parti tertentu dalam PH untuk berubah seperti yang diminta oleh perdana menteri.
“Itu amaran kepada mereka yang masih belum dapat menyesuaikan diri sebagai kerajaan.
“Jadi, mereka harus berhati-hati dan perlu berubah,” kata menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di kementeriannya di Putrajaya hari ini.
Dr Mahathir semalam berkata PH boleh menjadi kerajaan sepenggal melainkan ia berubah untuk jadi lebih baik dan mengurangkan pertelingkahan dalaman.
Katanya, siri kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) adalah petunjuk untuk ia memperbaiki diri dan khidmat kepada rakyat yang memberi mandat kepada parti itu pada Mei 2018.
“Ya, boleh jadi kerajaan sepenggal melainkan ia berubah,” kata perdana menteri.
Dr Mahathir juka mengakui sesetengah anggota PH lebih sibuk dengan “siapa jadi apa”, dan terlupa apa yang sepatutnya dilakukan untuk negara ini.
Tambah Zuraida, jika PH tidak akan dapat mempertahankan Putrajaya jika berterusan mengabaikan amaran Dr Mahathir itu.
Sabtu lalu, Warisan yang merupakan sekutu PH gagal memenangi PRK Kimanis, sekali gus menjadikan ia kekalahan kelima berturut-turut pakatan kerajaan dan sekutunya dalam sepuluh PRK yang diadakan sejak PRU14. – 21 Januari, 2020.
Komen