Tiada tempat buat Pakatan, DAP di Kelantan


Diyana Ibrahim

Warga Kelantan melihat DAP terlalu ekstrem dan hanya mengutamakan satu kaum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2020.

KALANGAN warga Kelantan tetap menolak Pakatan Harapan (PH) dan juga DAP yang mula digerakkan secara rasmi di negeri itu oleh pengerusi penajanya yang baharu, Zaid Ibrahim.

Pengundi yang ditemui menegaskan, tiada tempat buat PH di Kelantan terutama DAP kerana melihat parti itu terlalu ekstrem dan hanya mengutamakan satu kaum.

Yusrizal Ahmad, 35, yang bekerja sebagai penghantar makanan memberitahu The Malaysian Insight, ia dapat dilihat daripada pelaksanaan dan kenyataan yang dibuat pemimpin DAP.

“DAP banyak keluarkan kenyataan provokasi dan yang peliknya PH ini hanya mengikut seolah betullah seperti didakwa mereka jadi ahli politik DAP,” kata pemuda yang berasal dari Tumpat itu.

Reaksi sama turut diluahkan Johari Mamat, 65, yang bekerja sebagai nelayan. Penduduk Kampung Sungai Gali, Pasir Puteh itu melihat DAP sebagai ejen komunis.

Tambahnya, rakyat Kelantan tidak akan dapat melupakan kenyataan pemimpin DAP yang membantah pelaksanaan hudud.

“Kita tak dapat terima DAP ini sejak dulu ketika Pakatan Rakyat berpecah bagaimana mereka banyak menyerang dan menentang PAS,” katanya.

PH kerajaan sepenggal

Tambah Johari, tidak mustahil PH akan menjadi kerajaan sepenggal berdasarkan prestasi buruk parti itu.

Ini kerana, selama hampir dua tahun memerintah masih belum ada bantuan yang diberikan kerajaan kepada nelayan di kampungnya.

“Kerajaan dulu ada juga bagi, tapi sekarang langsung tidak ada. Kalau ada pun kerajaan negerilah yang beri peruntukan, macam untuk pukat atau jala mereka ada kasi tapi tidak PH,” katanya.

Luahan Johari itu diiyakan rakannya, Zulkifli Abdullah yang berkata bantuan tidak pernah diberikan biarpun penyelaras jawatankuasa DUN di situ adalah Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

“Yang peliknya ini kawasan beliau tapi tak pernah datang, ada sekali lah datang masa awal (dulu). Tapi lepas itu tak pernah datang dah,” kata Zulkifli, 38.

Walaupun DAP mula digerakkan secara rasmi di negeri itu oleh pengerusi penajanya yang baharu, Zaid Ibrahim, pengundi warga Kelantan tetap menolak PH dan juga DAP. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Januari, 2020.

PH kalah teruk dalam PRU14 di Kelantan biarpun berjaya menawan Putrajaya.

Gabungan parti itu langsung tidak berjaya menang satu kerusi pun malah majoriti calonnya hilang wang pertaruhan.

PAS pula berjaya menang sembilan dari 14 kerusi bagi peringkat Parlimen dan selebihnya dimenangi BN.

Bagi peringkat DUN pula PAS menang dengan majoriti tinggi di 37 kerusi daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.

Punca PH kalah teruk

Seorang lagi warga tempatan, Rashid Wahab menjangka nasib PH untuk PRU15 tidak akan berbeza dengan PRU14 di Kelantan kerana semangat negeri dan kemelayuan yang tebal di negeri itu.

“Ini yang unik di Kelantan ini tidak ada di negeri lain sebab itu sampai sekarang rakyat masih tetap memilih PAS,” katanya.

Rashid berkata rakyat Kelantan tidak mempercayai PH untuk mempertahankan agama Islam dan ditambah dengan faktor Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

“Rakyat Kelantan memang tidak gemarkan Dr Mahathir sebab sejarah lama. Dan ada pulak isu PH jadi alat DAP, jadi penolakan itu sangat kuat.

“Dan ia membuatkan rakyat Kelantan terutama yang berhijrah luar ini apabila balik mengundi mereka akan bersatu padu mempertahankan PAS,” katanya.

Rashid, 50, berpendapat, rakyat Kelantan hanya mempercayai PAS untuk mempertahankan Islam biarpun kerajaan negeri itu tidak menunjukkan prestasi yang baik.

“Ada juga banyak isu yang tidak dapat diselesaikan kerajaan negeri seperti bekalan air. Tapi rakyat sini boleh terima mereka, rata- rata menggunakan motor atau pam untuk naikkan tekanan air.

“Mereka rasa isu itu isu kecil berbanding isu DAP yang dilihat sebagai anti-Islam,” katanya. – 22 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen