Melayu Kelantan perlu jadi lebih liberal, kata Zaid Ibrahim


Diyana Ibrahim

Pengerusi penaja DAP Kelantan Zaid Ibrahim berkata orang Melayu hanya pandai melabelkan seseorang dengan gelaran liberal tapi gagal memahami maksud sebenar pemikiran tersebut. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Januari, 2020.

GOLONGAN Melayu hanya pandai melabelkan seseorang dengan gelaran liberal tapi gagal memahami maksud sebenar pemikiran tersebut, kata pengerusi penaja DAP Kelantan Zaid Ibrahim.

Itulah punca pemikiran itu sering dituduh berlawanan dengan hukum Islam, katanya yang berpendapat, golongan Melayu sebaliknya perlu menjadi lebih liberal.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan gelaran Melayu liberal yang sering dilemparkan ke atasnya.

“Kalau mereka kata saya Melayu liberal, saya tanya balik, apa yang mereka maksudkan dengan Melayu liberal? Tapi ada setengah orang mereka tak tahu pun maksud Melayu liberal itu.

“Mereka ini tak suka (apa-apa berkaitan liberalisme kerana) telah didoktrinkan bertahun-tahun.

“Saya tak tahu apa maksud mereka. Bagi saya Melayu ini patutnya liberal kalau tak mereka tidak akan jadi progresif,” katanya dalam wawancara di kediamannya di Kota Baru Kelantan.

Peguam itu digelar Melayu liberal atas kenyataan lantangnya yang didakwa sering berlawanan dengan hukum Islam – seperti dalam kes permohonan seorang wanita untuk keluar Islam pada 2007.

Pandangannya yang melihat permohonan wanita tersebut, Lina Joy untuk keluar Islam dari sudut perlembagaan dan bukan isu agama mendapat kecaman hebat dari kelompok muslim.

Isu berkenaan antara yang kembali diperkatakan sewaktu bekas menteri Umno itu bertanding kerusi Hulu Selangor atas tiket PKR beberapa tahun kemudian.

Zaid menjelaskan, orang tidak sepatutnya terlalu emosi dalam melabelkan seseorang dengan gelaran Melayu liberal kerana konsep itu penting dalam kehidupan seharian.

“Dalam negara demokrasi anda sepatutnya boleh mempunyai pandangan yang berbeza. Bagi saya itu maksud liberal.

“(Liberal juga bermaksud) anda berhak untuk pilih, hendak kehidupan masyarakat moden atau masyarakat dalam kongkongan. Terpulang kepada anda,” katanya.

Beliau juga sedar banyak pihak melabelkannya anti-Islam. Namun beliau berpendapat tuduhan itu tidak wajar, jika hanya disebabkan beliau menyokong DAP atau tidak menyokong PAS.

“Tapi bagaimana saya boleh jadi anti-Islam kalau sebelum DAP ada, Islam sudah wujud. Sebelum PAS ada Islam dah ada lama,” katanya.

Oleh itu beliau berkata kaum Melayu berhak diberi penjelasan lebih baik dapat membantu mengubah pemikiran mereka yang selama ini didoktrin dengan pemahaman salah.

Katanya perubahan pemikiran itulah yang diharapkan dapat dilakukan menerusi platform sebagai pengerusi DAP Kelantan.

Dalam negara demokrasi anda sepatutnya boleh mempunyai pandangan yang berbeza, kata Zaid Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Januari, 2020.

Tugas bawa perubahan

Pada masa sama beliau mengakui misinya dalam memberi penerangan kepada Melayu di negeri yang dianggap konservatif itu tidak mudah.

Zaid berkata ia bukan kerja semalaman dan tidak boleh dilakukan seorang diri kerana ia memerlukan sokongan dari semua pihak.

“Saya tidak ada jawapan ajaib, kalau mereka (rakyat) enggan dengar kalahlah saya.

“Dan untuk membawa perubahan tidak boleh saya, saya bukan hero tugas ini memerlukan sokongan semua, parti, kerajaan dan sesiapa saja yang cintakan keamanan ‘not one man job’,” katanya.

Beliau juga sedar, salah satu cabaran terbesar  dihadapinya  berdepan dengan  PAS Umno yang akan sering menggunakan perkauman dan agama.

Zaid berkata beliau tidak gentar dengan cabaran itu kerana berpandangan jika pihak tersebut sering melaungkan perjuangan Islam namun kenapa negeri mereka masih lagi menjadi negeri paling termiskin.

“Semua boleh kata perjuangan Islam, tapi apa maksud dia,jika Pulau Pinang boleh mengumpul zakat RM121 juta dan negeri anda kurang dari itu apa maksudnya.

“Kalau negeri anda miskin walhal negeri lain kaya bagaimana boleh anda boleh kata perjuangan Islam,” katanya.

Yakin rakyat Kelantan boleh berubah

Biarpun tidak meletakkan harapan tinggi, namun Zaid tetap mempunyai keyakinan akan tiba satu masa rakyat Melayu Kelantan akan mengubah pemikiran.

Katanya sudah tiba masanya rakyat Kelantan lebih terbuka kepada alternatif lain, serta politik lebih membina dan tidak lagi tertumpu kepada politik perkauman.

“Jangan pandang rendah kepada rakyat Kelantan, mereka sebenarnya hebat-hebat, orang berniaga semuanya. Jadi mereka sudah pasti mahukan pembangunan perubahan.

“Cuma selepas 30 hingga 40 tahun didoktrin memang sukar kita nak buang stigma orang Melayu, tapi apa pun kita tetap perlu berbuat sesuatu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai misinya, Zaid berkata fasa pertamanya untuk menarik sokongan yang membolehkan rakyat Kelantan mendengar penjelasannya.

“Perkara pertama yang saya kena buat, ialah untuk tarik orang yang tidak mesra ini. Jika mereka sanggup mendengar saya rasa cukup bagus untuk fasa pertama.

“Dan selebihnya biarlah dilakukan secara beperingkat,” jawabnya.

Zaid menegaskan, beliau tidak memikirkan sebarang perancangan lebih besar dalam dunia politik seperti menjadi calon dalam PRU15.

Bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata beliau menerima peranan sebagai pengerusi penaja DAP Kelantan memandangkan beliau berasal dari negeri itu dan mahu mengekang politik kebencian.

“Saya nak bersara dah. (Bertanding pilihan raya) itu yang saya buat sebelum ini cuma kebetulan. Sekarang ada jawatan jadi saya kenalah buat kerja saya.

“Tapi rutin saya tetap sama, saya masih menulis, kalau orang hendak saya bercakap, saya bercakaplah. Saya ahli politik yang tidak aktif,” katanya. – 22 Januari, 2020.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen