Shahrir, Ahmad Maslan akan didakwa esok 


Pemimpin Umno Shahrir Abd Samad dan Ahmad Maslan akan didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2020.

PEMIMPIN Umno Shahrir Abd Samad dan Ahmad Maslan akan didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima kebenaran untuk mendakwa kedua-dua mereka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut agensi anti-rasuah berkenaan, Shahrir akan berdepan satu pertuduhan manakala Ahmad Maslan akan didakwa dengan dua pertuduhan. Bagaimanapun butiran pendakwaan tidak didedahkan.

SPRM juga berkata, kedua-dua mereka ditahan ketika hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi tadi.

“Kedua-dua mereka kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.

Difahamkan pertuduhan itu mempunyai kaitan dengan wang 1Malaysia Development Berhad yang diterima oelh kedua-dua mereka daripada bekas perdana menteri yang juga bekas presiden Umno, Najib Razak.

Oktober lalu, SPRM berkata pihaknya cuba mendapatkan semula RM420 juta daripada 80 individu dan entiti yang menerima wang daripada 1MDB.

Nama Ahmad Maslan dan Shahrir turut tersenarai.

Ketika itu, Ahmad menafikan menerima wang daripada 1MDB, namun mengakui beliau disiasat oleh pihak berkuasa berhubung perkara itu.

Bekas timbalan menteri perdagangan dan industri berkata, beliau sebelum ini disiasat oleh polis dan SPRM kerana didakwa menerima cek daripada 1MDB.

Sementara itu, Shahrir yang juga bekas ahli Parlimen Johor Bahru berkata akaun peribadi dan akaun partinya telah dibekukan oleh pihak berkuasa berikutan siasatan 1MDB.

Beliau mengakui menerima dana daripada Najib namun tidak tahu sumber dana berkenaan yang diterima pada 2013.

“Saya terima dana itu pada November 2013, ketika saya bertemu beliau (Najib), beliau adalah presiden parti, dan saya adalah ketua bahagian. Saya meminta dana untuk mebantu saya dalam aktiviti politik di Johor Bahru, jadi bagi saya, itu adalah dana politik,” katanya. – 20 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen