PELAJAR tahfiz yang meninggal dunia siang tadi, Mohammad Thaqif Amin Mohd Gadaffi pernah mendedahkan tujuan utamanya belajar di madrasah kerana ingin membawa ibunya ke syurga, kata datuk Ahmad Motai yang turut sama menanti penuh sabar ketibaan jenazah cucunya itu malam ini.
Menurut Ahmad, Thaqif yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu sememangnya bercita-cita untuk menjadi al-hafiz tanpa dipaksa oleh sesiapa.
“Dia (Thaqif) seperti kanak-kanak lain, ceria seperti biasa. Memang menjadi cita-citanya untuk belajar di sini, untuk menghafal al-Quran. Katanya, nak bawa ibu ke syurga,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun, menurut Ahmad, 66, cucunya yang mendaftar di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Kota Tinggi, Johor pada 27 Januari berkeras meminta dikeluarkan daripada sekolah itu selepas beberapa bulan belajar di situ.
Kediaman keluarga Thaqif di Felda Bukit Aping Timur dipenuhi penduduk sekitar, warga madrasah yang membacakan doa Yasin dan tahlil, serta beberapa keluarga pelajar tahfiz.
Turut kelihatan ibunya Felda Wani Ahmad, 40, merupakan seorang guru kebangsaan di Ulu Tiram yang masih berpantang mengendong anak kecilnya.
The Malaysian Insight berkesempatan menemubual seorang bapa pelajar tahfiz di madrasah sama yang turut hadir menunggu ketibaan jenazah Thaqif.
Beliau yang enggan mendedahkan namanya memaklumkan anaknya yang kini berusia 14 tahun tidak pernah mengalami kejadian seperti Thaqif.
“Mungkin kerana pembantu warden yang berbeza sebelum ini. Anak saya kini sudah menuntut dalam tahun keduanya,” kata beliau yang enggan mendedahkan namanya kepada The Malaysian Insight.
Walaupun kejadian menimpa Thaqif mengejutkan semua pihak, beliau tidak berhasrat menukar anaknya ke sekolah lain kerana berpendapat ia mempunyai prasarana agak memuaskan.
Pada jam 11 malam, keluarga mangsa masih menanti ketibaan van jenazah dari hospital Sultan Ismail yang diiringi bapa Thaqif, Mohd Gadaffi Mat Amin. Bedah siasat selesai kira-kira jam 10.50 malam. – 26 April, 2017.
Komen