SEJUMLAH 2.2 juta penerima menerima RM66 juta di bawah inisiatif e-Tunai Rakyat setakat semalam, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Jumlah ini adalah daripada 2.9 juta permohonan yang diterima oleh kerajaan, katanya.
Bercakap pada pelancaran Ekosistem Tanpa Tunai untuk Cyberjaya dengan Malaysia QR petang ini, Lim berkata sambutan daripada orang ramai terhadap insentif e-dompet yang baru dilancarkan adalah menggalakkan.
“Saya ke pelbagai lokasi di seluruh negara dan saya dengan sukacitanya melaporkan bahawa terdapat tindak balas yang menggalakkan terhadap inisiatif ini.
“Sehingga jam 9 malam semalam, sebanyak 2.9 juta permohonan diterima, 2.2 juta diluluskan dengan jumlah RM66 juta yang dikeluarkan,” katanya.
Program e-Tunai rakyat yang bermula pada 15 Januari membolehkan 15 juta orang yang layak menuntut RM30 melalui tiga pengendali e-dompet: Grab, Boost and Touch ‘n Go.
Dianggarkan 15 juta rakyat Malaysia layak mendapat geran kerajaan RM30 daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet.
Sementara itu, Lim berkata tanpa tunai adalah keutamaan Pakatan Harapan (PH) sebagai salah satu cara untuk membendung rasuah.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata e-pembayaran adalah cara yang penting dan selamat untuk memastikan pihak yang betul menerima subsidi sasaran tanpa yuran tidak perlu dan komisen.
“Apabila PH mengambil alih, kami komited untuk memulihkan kepercayaan kepada kerajaan dengan melaksanakan pembaharuan untuk tadbir urus yang Kompeten, Bertanggungjawab dan Telus.”
“Transaksi tanpa tunai adalah keutamaan sebagai cara untuk membendung rasuah. Semua urus niaga direkodkan agar tidak menerima atau memberi rasuah.”
“Ia juga merupakan cara penting untuk memastikan tiada bayaran dan komisen tidak perlu. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan AS$2 trilion setahun dibazirkan dengan rasuah,” katanya. – 20 Januari, 2020.
Komen