58% rakyat Malaysia mahu Putrajaya mengadakan semula pilihan raya pihak berkuasa kerajaan tempatan (PBT), tetapi masih ragu-ragu ia akan membawa sebarang pembaharuan, lapor kajian Centre For A Better Tomorrow (Cenbet).
Presiden Bersama Cenber Gan Ping Sieu berkata responden mempunyai pandangan berbeza mengenai kesan pilihan raya PBT itu.
“Walaupun 58% mahukan pilihan raya PBT, 67% lagi merasakan ia akan mewujudkan lebih banyak karenah birokrasi.
“59% lagi pula merasakan ia (pilihan raya PBT) tidak akan menyelesaikan masalah negara,” kata Gan pada majlis pelancaran kajian Cenbet tentang pilihan raya PBT, di Petaling Jaya, hari ini.
Ogos lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin berkata beliau memerlukan tempoh tiga tahun untuk menyediakan kertas kerja cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT untuk kelulusan Kabinet.
Menurutnya, Putrajaya kini sedang melakukan kajian kebolehlaksanaan peringkat awal bagi memperkenalkan pilihan raya PBT pada 2021.
Tambahnya, sementara menunggu kajian siap, KPKT akan menganjurkan bengkel dan forum awam melibatkan semua pihak berkepentingan serta bekerjasama dengan PBT untuk mendidik rakyat tentang pilihan raya itu.
Cenbet menjalankan kajian pada November lalu melibatkan 1,000 responden seluruh negara. – 20 Januari, 2020.
Komen