Jentera siber Umno perlu teliti, letak sumber dalam posting


Diyana Ibrahim

Khairy menyatakan jentera siber Umno tidak layak disamakan dengan jentera pihak lawan yang suka menyebarkan berita tanpa sumber sah sehingga menyebabkan berlakunya salah faham besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2017.

JENTERA siber Umno perlu meneliti dan meletak sumber asal dalam setiap posting yang dipaparkan di laman sosial supaya dapat menjaga kredibiliti Umno dan mengelak dari berlakunya fitnah besar, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, secara tidak langsung beliau tidak mahu jentera siber Umno disamakan dengan “pihak sebelah sana” yang suka menyebarkan berita palsu tanpa meletakkan sumber.

Beliau merujuk kepada penyebaran gambar bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berpelukan dengan dua pengawal peribadi UTK (Unit Tindakan Khas) yang mengundang reaksi daripada pengguna laman sosial.

“(Di) media sosial tak (boleh) percaya bulat-bulat pada setiap posting di Facebook. Kena rujuk sumber.

“Senang cerita, mana sumber anda kalau gambar dua tiga hari lepas tular seMalaysia?

“Dengan berita kerajaan tarik balik khidmat pengawal peribadi. Selama dua tiga hari kata kerajaan zalim.

“Sedangkan gambar tersebut gambar tahun lepas yang tak ada kena mengena dengan pengawal peribadi UTK,” katanya semasa berucap di Konvesyen Media Sosial Umno di PWTC hari ini.

Putrajaya pada Rabu lalu menarik balik pengawal peribadi Dr Mahathir, langkah yang dilihat sebagai “siri pembalasan” terbaharu terhadap negarawan itu sejak beliau menjadi pengkritik kerajaan nombor satu dan pengerusi Pakatan Harapan (PH). 

Susulan daripada itu, gambar Dr Mahathir yang dilihat berpelukan dengan dua orang dipercayai pengawal peribadinya menjadi tular di laman sosial. Rata-rata netizen mengecam tindakan Putrajaya dan menzahirkan simpati kepada bekas perdana menteri tersebut.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Khairy berkata jentera siber Umno perlu lebih berani menentang penyebaran berita palsu seumpama itu.

Pada masa sama Khairy yang berucap di hadapan kira-kira 4,500 jentera siber turut membidas bajet Selangor memberi bonus tiga bulan kepada kakitangannya.

Khairy berkata bajet tersebut merupakan bajet temberang kerana dimaklumkan pembayaran bonus dua bulan sudah dilakukan semasa raya lepas.

“Hari ini saya baca, betul atau tak berita tiga bulan bonus dibayar Selangor bukan macam digambar.

“Ada kata dua bulan dibayar raya lepas. Saya tak pasti betul atau tak. Kalau betul dua bulan bonus dah bayar maka ia patut jadi isu.

“Jadi ini bajet temberang kerajaan Selangor kononnya lagi hebat dari Persekutuan. Mereka bagi tiga bulan bonus kepada kakitangan Selangor yang jauh lebih kecil tapi dua bulan sudah dibayar,” katanya.

Pemberian bonus selama tiga bulan merupakan sebahagian daripada insentif Bajet 2018 Selangor dibentangkan Menteri Besarnya Mohamed Azmin Ali.

Antara lain kerajaan negeri itu turut mengumunkan program memperkasakan rakyat termasuk skim kad perubatan, tambang bas sekolah untuk anak-anak pekerja ladang, insuran untuk semua pesawah padi, bonus untuk kakitangan awam dan bantuan makanan untuk wanita berpendapatan rendah. – 4 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen