PENGERUSI penaja DAP Kelantan Zaid Ibrahim memulakan misi pertamanya untuk mengubah persepsi orang Melayu di negeri itu dengan mendepani masyarakat di kampung kelahirannya di Bachok.
Dalam ucapan di hadapan kira-kira 100 orang di Kampung Chap, mukim Bekelam, bekas menteri Umno itu cuba menjelaskan alasan beliau membantu DAP merintis pengaruh di negeri itu.
Beliau berkata negeri itu hanya boleh maju jika mereka mempercayai Pakatan Harapan dan tidak lagi terikut-ikut dengan momokan pihak lain yang menghasut untuk membenci DAP.
“Lepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) saya tengok Kelantan semua (dipimpin) parti pembangkang. Jadi duit kurang, sebab itu kita masih lagi jadi sebuah negeri tak maju,” katanya.
Beliau berkata keputusannya itu adalah semata-mata untuk kepentingan rakyat Kelantan dan mahu melihat negeri tersebut membangun dan bukan untuk memecah-belahkan orang Melayu.
“Ada yang kata Zaid Ibrahim ini cuba pecah belahkan orang Melayu, cuba pecahkan Islam. Tak masuk akal orang tua macam saya nak pecah belah bangsa sendiri.
“Saya nak tengok pembangunan lebih besar di Kelantan. Takkan saya yang dah tua ini nak hancurkan negara, politik orang Melayu ini. Kena masuk akal,” kata peguam itu lagi.
Zaid yang juga pernah menjadi antara barisan pemimpin utama dalam PKR berkata ketakutan kaum Melayu terhadap DAP juga tidak berasas.
Katanya, ketakutan itu hanya berpunca daripada serangan ke atas parti tersebut, sedangkan politik DAP tidak ubah seperti parti komponen BN – MIC dan MCA.
“Orang takut DAP ini macam hantu, tapi mereka ini sebenarnya dah lama (dalam dunia politik) sama juga macam MIC, MCA tapi sebab politik DAP ini dihentam kuat sangat.
“DAP ini parti pemerintah kalau benci PH rugi lah kita mereka ini kerajaan,” katanya.
Beliau berkata ucapannya tidak bermaksud mahu mengajak kaum Melayu terus menyertai DAP tetpai memujuk rakyat Kelantan agar tidak terikut dengan politik kebencian dan menjadi alat ahli politik.
Bekas menteri dalam Kabinet perdana menteri kelima Abdullah Ahmad Badawi itu menyertai PKR pada 2009 dan dilantik mengetuai usaha mengukuh kerjasama dengan DAP dan PAS.
Dalam pemilihan parti pada tahun berikutnya, beliau gagal menentang Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden, dan bertindak keluar PKR dan membentuk parti baharu, Kita.
Ia tidak kekal lama dan beliau keluar parti Kita. Pada 2017, beliau mengumumkan menyertai DAP dan baru-baru ini dilantik menjadi pengerusi penaja DAP Kelantan.
Beliau semasa pelantikannya berulang kali menegaskan misinya adalah untuk memberi penjelasan dan menhapuskan stigma orang Melayu terhadap DAP.
Tidak mustahil tapi sukar
Rata-rata penduduk Kampung Chap yang hadir dalam ceramah semalam pula berpendapat usaha Zaid tidak mustahil. Namun mereka percaya usaha itu sukar.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Haji Ariffin berkata Zaid yang dilihat sebagai anak tempatan dan senang diterima kerana pernah menjadi ahli Parlimen Kota Bharu.
“Tapi untuk ubah minda orang Melayu Kelantan ini memang sukarlah, cuma ia tidak mustahil,” katanya.
Perkara tersebut turut diakui oleh seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 39 tahun.
Katanya, Zaid juga mungkin tidak berjaya kerana rakyat Kelantan sukar untuk menerima sesuatu yang baru – antara sebab warga di negeri itu masih tidak lagi menerima Pakatan Harapan.
“Dan sekarang kita rakyat Kelantan lagi tengah marah pada Pakatan Harapan, jadi memang kita tidak akan terima,” katanya.
Namun Din berkata beliau tetap datang ke program malam itu kerana ingin tahu apa yang akan diperkatakan Zaid.
“Kami semua datang sebab nak dengar apa beliau nak cakaplah. Sebab nak tahu juga mengapa beliau beriya-iya mempertahankan DAP,” katanya.
Din yang berkerja sendiri berkata beliau juga tidak bersetuju dakwaan Zaid bahawa Kelantan negeri tidak maju dan hanya Pakatan Harapan boleh mengubah negeri itu.
“Saya tengok Kelantan ini maju walau jadi negeri pembangkang, saya tidak ada masalah dengan itu,” katanya.
Seorang lagi penduduk tempatan, Suhami Che Din, 53, juga hadir untuk mengetahui apa yang ingin diucapkan oleh Zaid.
Pemandu lori itu juga yakin peluang Zaid untuk menarik sokongan Melayu begitu sukar.
“Rata-rata rakyat Kelantan masih keliru dengan PH jadi memang lagi sukarkan keadaan. Tapi saya bersetuju bila beliau cakap negeri Kelantan ini perlu lebih membangun dan maju,” katanya. – 20 Januari, 2020.
Komen