Henti keganasan, haramkan hukuman dera, kata aktivis hak kanak-kanak


Melati A. Jalil

HUKUMAN dera sebagai satu bentuk disiplin kanak-kanak perlu diharamkan, kata aktivis hak kanak-kanak berikutan kematian pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffie di Johor hari ini.

Dr Hartini Zainudin dengan tegas memberitahu The Malaysian Insight, ia bukan setakat mengawal selia hukuman dera, tetapi tidak boleh digunakan sama sekali untuk mendisiplinkan kanak-kanak.

“Ia perlu diharamkan. Anda tidak boleh menggunakan hukuman itu sama sekali.

“Anda tidak sepatutnya mengajar anak melakukan sesuatu dengan keganasan. Ia bukan caranya.

“Mereka adalah kanak-kanak, manusia yang anda ingin lengkapkan dengan pengetahuan dan menyemai nilai ke dalam dirinya,” kata Hartini, sambil menambah terdapat cara lebih baik untuk mengajar mereka mengenai akauntabiliti dan tanggungjawab tanpa perlu menggunakan pendekatan punitif.

Beliau menegaskan penggunaan kekerasan fizikal tidak boleh dipandang ringan kerana sesetengah orang tidak dapat membezakan antara teguran dan penderaan.

“Kita mengalaminya setiap beberapa tahun; setiap beberapa tahun akan ada beberapa kanak-kanak didera atau menerima hukuman dera dengan cara tidak sepatutnya.

“Kita tidak pernah belajar daripada kesilapan, atau mengenai dasar perlindungan kanak-kanak. Kita tidak pernah belajar apa dimaksudkan dengan penderaan.

“Kita membiarkan hukuman dera, kita mengatakan ia untuk mendisiplinkan anak. Mari ubah sikap tentang bagaimana kita mahu anak-anak sepatutnya berkelakuan…”

Awal hari ini, Thaqif, pelajar berusia 11 tahun di sekolah tahfiz di Kota Tinggi, Johor meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail di Johor Baru selepas kedua-dua kaki dipotong.

Beliau dijadualkan menjalani pembedahan lanjut pada pagi ini untuk memotong lengan kanannya tetapi ditangguhkan kerana kondisi jantungnya yang lemah. Beliau bagaimanapun, meninggal dunia pada jam 2 petang.

Thaqif bersekolah di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, di mana pembantu warden didakwa memukul Thaqif dan rakannya yang lain dengan getah paip.

Lelaki itu ditahan pada Sabtu dan kini menghadapi tuduhan membunuh. – 26 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen