Zahid gesa jentera siber Umno lawan balik tohmahan


Diyana Ibrahim

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyeru jentera siber Umno giat menentang tohmahan terhadap kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2017.

JENTERA siber Umno patut lebih giat melawan segala tohmahan dan fitnah ke atas kerajaan supaya tidak meleret menjadi masalah di masa akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Mengambil contoh kes saman PAS ke atas Sarawak Report, timbalan perdana menteri itu berkata sepatutnya isu tersebut harus diberi penjelasan lebih awal supaya ia tidak berlarutan menjadi kes mahkamah dimana impaknya lebih buruk.

“Apa yang berlaku dihadapan kita di mana budaya buruk jelik untuk berita palsu itu seolah-olah terima ramai sebaik-baiknya.

“Tapi kalau kita tak atasi segera dan hanya jawab 3 atau 4 bulan kemudian maka berlaku macam apa Ambiga lakukan. Tuduh PAS ambil RM90 juta dari Perdana Menteri Najib Razak menggunakan duit 1Malaysia Development Berhad,” katanya ketika berucap di majlis Konvesyen Media Sosial Umno di PWTC Kuala Lumpur. 

Mengulas lanjut isu tersebut, Zahid berkata, apabila kes itu sudah dibawa ke mahkamah segala tindakan untuk menangkis tuduhan tersebut telah terlambat dan sia- sia.

“Apabila Sarawak Report disaman di mahkamah dan keadaan ini didedahkan namun Ambiga tak nak bercakap sebaliknya hanya sebut apa yang dinyatakan dalam saman.

“Perkara ini patut diselidik kita masa berita ini timbul dan bukannya ketika dibawa ke mahkamah (kerana) kesan persepsi berlaku amat memusnahkan,” katanya dihadapan lebih daripada 3,500 tentera siber Umno yang hadir hari ini.

Sebelum ini Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown menamakan Ambiga Sreenavasan sebagai sumber maklumatnya dalam keterangan pembelaan saman oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Rewcastle-Brown mendakwa, beliau bercakap dengan Ambiga pada Julai 2016 berhubung perkara berkaitan 1MDB, Najib dan PAS.

Bagaimanapun Ambiga enggan mengulas dakwaan tersebut, memberikan alasan ia sudah menjadi kes mahkamah.

Zahid berkata kegagalan untuk menangani isu tohmahan dengan cepat turut menyaksikan mengapa Barisan Nasional dalam dua pilihan raya lalu gagal mendapat dua pertiga majoriti.

“Kita juga lihat kesan- kesan berlaku sebab kita tenggelam dalam dua pilihan raya lalu. Tapi biarlah sejarah tinggal sejarah.

“Kita mahu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila perdana menteri memberi bajet terbaik (dan) semua aspek diambil kira dan bila semua jentera diintergrasi dan dikombinasi sebaiknya kita lupakan perbezaan di kalangan kita.

“InsyaAllah dibawah pimpinan kita, kita beri hadiah dua pertiga kemenangan dalam PRU14,” katanya. – 4 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen