Najib gesa Mujahid perjelas penjualan ladang Tabung Haji


Menteri Hal Ehwal Islam, Dr Mujahid Yusof Rawa digesa menjelaskan mengenai penjualan ladang milik Tabung Haji. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2020.

LEMBAGA Tabung Haji (Tabung Haji) mesti menjelaskan keputusannya menjual 76.2% ladang kelapa sawit yang diletakkan di bawah anak syarikat TH Plantations, kata Najib Razak.

Beliau berkata Mujahid Yusof Rawa, menteri hal ehwal Islam tidak sepatutnya diam dan sepatutnya menjelaskan mengenai penjualan kepada umat Islam di negara ini.

 “Ini bukan 7% atau 17%. Ini 76.2%. Lebih 3 suku tanah sawit milik Tabung Haji yang sedang diborong.

“Menteri Haji tak fikir isu ini penting bagi umat Islam Malaysia?” kata bekas perdana menteri itu dalam catatan Facebook rasminya hari ini.

Tabung Haji yang merupakan lembaga yang menjaga hal ehwal jemaah haji dan berada di bawah bidang kuasa Mujahid.

Najib menambah dua daripada 14 ladang Tabung Haji akan dijual.

“Yang lain tunggu masa umum sahaja,” katanya.

Najib juga berkata salah satu daripada ladang itu dijual pada kadar yang sangat rendah - turun daripada harga buku RM380 juta kepada RM170 juta.

“Setelah auditor tiba-tiba ditukar dan kemudiannya dijual dengan harga amat rendah - iaitu RM170 juta atau RM10,500 setiap ekar (24 sen satu kaki persegi).”

“Dah dua minggu Menteri Haji tak berani jawab.

“Sekurang-kurangnya, tuduhlah Najib memfitnah tentang aset milik umat Islam jika benar-benar saya bohong,” katanya, sambil menambah beliau tidak berbohong kerana mendapat semua maklumat penjualan daripada laporan TH Plantations. – 19 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen