Warga perumahan awam rayu kemudahan lebih baik, selamat


Zaim Ibrahim

Keadaan taman permainan di PPR Taman Manggis, Georgetown yang usang membahayakan kanak-kanak bermain di situ. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Januari, 2020.

PELBAGAI projek canggih dengan kos tinggi dirancang bagi kawasan tambakan laut Pulau Pinang namun pendudukna masih mengeluh mengenai taraf hidup di perumahan awam sedia ada.

Keadaan bangunan dan kemudahan serta prasarana yang daif menyebabkan penduduk seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis bimbang dengan tahap keselamatan mereka.

Seorang penduduk Fatimah Zaharah Abdul Rahman memberitahu, mereka hanya mampu tinggal di perumahan ini kerana sewa yang murah, tetapi kemudahaan yang disediakan amat buruk.

Katanya, berpindah ke bangunan itu sepuluh tahun lalu apabila terpaksa mengambil alih tugas menyara lima anak di PPR tersebut di Georgetown, selepas kematian suaminya.

“Saya pilih PPR sebab kadar sewa tidak mahal, hanya RM124. Saya tidak mahu terus bersedih dan ikhtiar untuk memulakan kehidupan baharu di PPR ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Fatimah yang berkahwin semula tiga tahun lalu berkata beliau tertekan kerana kemudahan di PPR itu sangat daif sekali.

“Lif contohnya banyak kali rosak walaupun beberapa kali dibaiki. Memang kita boleh naik tangga tapi bagi warga emas, kasihan kepada mereka.

“Di PPR ini juga tiada tapak perhimpunan jika berlaku kecemasan. Tapak permainan saja tidak cukup kerana tidak luas.

“Saya pernah duduk di tapak permainan ini dan hampir terkena plastik sampah yang dibuang orang atas,” tambahnya.

Ketiadaaan lampu di kawasan parkir mengundang pelbagai bahaya kepada penduduk. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Januari, 2020.

Tinjauan The Malaysian Insight juga mendapati taman permainan itu usang dan terdapat peralatan yang tidak selamat untuk kanak-kanak.

Satu blok PPR Taman Manggis setinggi 17 tingkat itu menempatkan 320 kediaman. Namun kawasan parkirnya hanya mampu memuatkan 80 kenderaan.

Ini menyebabkan kawasan itu sesak dengan kenderaan dan ada penghuni meletakkan motosikal di tapak permainan, tangga, dan berdekatan lif.

Penduduk berharap, keadaan seperti inilah yang dapat ditangani dengan dana RM17.8 juta diumumkan kerajaan untuk penyelenggaraan 44 perumahan awam di Pulau Pinang.

Kerajaan mengumumkan dana itu disalurkan melalui Projek Penyelenggaraan Perumahan dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia di negeri itu.

Mengulas perkara sama, seorang pemimpin komuniti di Permatang Pauh berkata kawasan parkir merupakan antara kemudahan utama yang perlu dinaik taraf seperti di penempatan mereka.

Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Taman Haji Mohd Amin, Salmah Jaafar berkata balai awam yang rosak juga perlu diperbaiki.

“Kawasan parkir perlu diletakkan lampu. Sekarang ini, kawasan parkir gelap ketika malam dan boleh mengundang pelbagai aktiviti tak bermoral dan jenayah.

“Balai Islam perlu dibaiki untuk aktiviti kemasyarakatan, sekarang ini atap sudah bocor dan tidak dapat digunakan sejak beberapa tahun lalu menyebabkan kita sukar mengadakan apa-apa program,” katanya.

Persekitaran Rumah Pangsa Taman Haji Mohd Amin di Permatang Pauh, Pulau Pinang memerlukan yang usang memerlukan perhatian segera pihak berkuasa. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Januari, 2020.

Seorang lagi pemimpin komuniti berkata, dana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu sepatutnya turut digunakan untuk naik taraf hidup penduduk dan bukan hanya kemudahan fizikal.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain berkata peruntukan itu tidak bermakna jika tidak menambah baik kehidupan penghuni PPR dan rumah kos rendah itu.

“Penduduk rumah PPR dan kos rendah perlukan satu perubahan kerana mereka sering dianggap masyarakat kelas kedua.

“Kerajaaan perlu melihat bagaimana untuk menaik taraf hidup mereka dengan program-program pembangunan insan,” jelasnya.

Beliau beranggapan, kemudahan-kemudahan yang diberikan atau dibaik pulih akan rosak kerana vandalisme sering berlaku.

“Perkara ini terjadi kerana tiada pendidikan sivik dan juga (mengenai) masalah sosial.

“Saya juga berpendapat, keluarga daripada pegawai kerajaan perlu ditempatkan di rumah-rumah ini supaya mereka boleh memantau dan menjadi penghubung kerajaan dengan penduduk,” tambah beliau.

Exco Perumahan, Jagdeep Singh Deo menjelaskan, kerajaan Pulau Pinang pada mulanya memohon untuk 137 projek bernilai RM100 juta pada tahun lalu untuk tujuan itu.

Sebanyak 39 projek diluluskan bernilai RM15.26 juta merangkumi penyelenggaraan perumahan di Seberang Perai dan kawasan pulau, katanya seperti dilaporkan Bernama.

Lima lagi projek membabitkan penyelenggaraan lif bernilai RM2.5 juta diluluskan di bahagian pulau dan satu projek di daerah Seberang Perai yang bernilai RM133,500, katanya. – 19 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen