SUDAH tiba masanya untuk maklum balas yang berbeza terhadap kontroversi Jawi dan mengambil pendirian demi perpaduan negara, yayasan dermawan Cina memutuskan untuk menerbitkan kalendar 2020 dengan kaligrafi tulisan berbeza daripada tiga kumpulan vernakular utama Malaysia, dan kini ia menjualnya bagi mengumpul dana.
Yayasan Tan Kah Kee menampilkan kalendar yang memaparkan kaligrafi Jawi, Cina dan Tamil sebagai cara untuk mengingatkan rakyat Malaysia tentang kepelbagaian mereka dan juga identiti kebangsaan mereka.
Ketua pegawai eksekutif Yayasan Chuang Yi Jing berkata satu pasukan telah berbincang sama ada reka bentuk itu akan menimbulkan kontroversi, memandangkan kontroversi mengenai rancangan kerajaan memperkenalkan Jawi di sekolah vernakular berlarutan selama beberapa bulan.
“Bagaimanapun, sambutan sangat positif dan pengarah yayasan berpendapat ia adalah perkara yang baik. Kalendar tidak menyerlahkan satu kumpulan etnik sahaja atau satu tulisan, tetapi menampilkan warisan tiga kumpulan etnik utama negara,” kata Chuang kepada The Malaysian Insight.
Beliau berharap inisiatif ini dapat membantu mengingatkan rakyat Malaysia untuk memahami antara satu sama lain.
“Ada orang yang melakukan perkara yang baik untuk menyebarkan positiviti dalam masyarakat, tetapi ini tidak dilihat kerana terlalu banyak negatif,” katanya.
Yayasan Tan Kah Kee dinamakan sempena ahli perniagaan dan dermawan Cina yang hidup dari 1874 hingga 1961 dan menubuhkan sekolah dan universiti di seluruh Asia Tenggara untuk diaspora Cina.
Chuang berkata yayasan itu melancarkan kalendar dengan tema yang berbeza setiap tahun.
Pelan asal untuk kalendar 2020 adalah menggambarkan karya seni yang mewakili watak pelbagai budaya Malaysia.
Tetapi dengan kontroversi Jawi yang hangat melatari pembikinannya, akhirnya pasukan itu memutuskan untuk menggabungkan seni kaligrafi untuk mesej yang lebih kuat.
Ilustrasi mengandungi kata-kata dan peribahasa berkaitan pendidikan dipilih bagi ditampilkan dalam kalendar tersebut.
“Tema keseluruhan menyentuh bagaimana kemakmuran dan kemajuan negara bergantung kepada perkembangan pendidikan,” kata Chuang.
“Apa yang kita ingin sampaikan ialah, kita semua mempunyai visi yang sama walaupun ia dinyatakan dalam bahasa atau skrip yang berbeza.”
Yayasan itu mengeluarkan 1,500 kalendar dalam bulan lalu dan stok hampir habis.
Kalendar berkenaan boleh didapati secara percuma dari pejabat yayasan itu dengan sumbangan minimum sebanyak RM10.
Kontroversi Jawi bermula tahun lepas apabila berita mengenai pelaksanaannya - sukatan Jawi dalam enam muka surat buku teks Bahasa Melayu untuk Tahun Empat vernakular mulai tahun ini - telah diumumkan kepada media.
Berita itu menjadi tajuk utama berita sehingga akhirnya Kementerian Pendidikan mengurangkan sukatan kepada tiga muka surat dan membiarkan setiap sekolah vernakular memutuskan sama ada untuk melaksanakannya berdasarkan keputusan 51% daripada tinjauan persatuan ibu bapa dan guru.
Pengkritik bimbang tindakan itu adalah satu bentuk Islamisasi, tidak ada keperluan membebankan murid dengan tulisan yang jarang digunakan dalam kehidupan seharian.
Ketiga-tiga halaman pengenalan Jawi menyentuh mengenai apa yang dimaksudkan pada Lambang Malaysia (Jata Negara), pada setem, dan pada nota ringgit.
Perdebatan umum selama berbulan-bulan mengenai rancangan itu menyaksikan retorik anti-Cina dan himpunan protes juga turut diadakan.
Chuang berkata banyak salah faham tentang Jawi dan hanya mengaitkannya dengan Islam dan Al-Quran.
“Walaupun ia adalah medium yang digunakan dalam Al Quran, ia juga boleh digunakan untuk menulis perkara-perkara lain,” katanya.
Yayasan itu telah mengagihkan kalendarnya kepada pelbagai organisasi, termasuk Majlis Inovasi Islam Malaysia.
“Sambutan itu baik dan orang ramai melihat isu itu tepat pada masanya.” – 19 Januari, 2020.
Komen