ISU kedudukan Zuraida Kamaruddin dalam parti tidak dibincang dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini, kata Naib Presiden PKR Chang Lih Kang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita serta dua kumpulan pro dan anti Zuraida yang berkumpul di luar bangunan ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pagi ini.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim minta saya beritahu mereka (kumpulan) bahawa mesyuarat hari ini tidak bincang isu pemecatan,” katanya.
Chang juga meminta dua kumpulan yang berhimpun itu bersurai.
“Kita minta mereka bersurai. Ini cuma mesyuarat biasa MPP.”
Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan digesaoleh akar umbi parti supaya dipecat ekoran ucapan beliau pada sebuah majlis makan malam bulan lalu, yang didakwa mencemar nama Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Terdahulu, kecoh di luar bangunan ibu pejabat PKR apabila dua kumpulan penyokong dan anti Zuraida saling bertikam lidah.
Sebelum ini MPP dilaporkan akan membincangkan isu pemecatan Zuraida pada mesyurat hari ini.
Zuraida tidak hadir mesyuarat hari ini kerana berada di Kimanis, Sabah. Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali juga tidak kelihatan.
Antara pemimpin tertinggi parti yang hadir ialah Anwar, Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli MPP Sivarasa Rasiah. – 18 Januari, 2020.
Komen