Sokongan kesihatan mental tempat kerja masih kurang


Nabihah Hamid

Majikan di Malaysia termasuklah syarikat multinasional masih kurang memberi tumpuan kepada inisiatif mewujudkan persekitaran tempat kerja positif dan menyokong pekerja mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental, kata Ketua Jabatan Psikiatrik Hospital Selayang, Dr Toh Chin Lee. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 November, 2017.

TIDAK ramai majikan Malaysia mempunyai inisiatif tempat kerja menyokong kesihatan mental walaupun jumlah mereka yang mengalami masalah psikiatrik semakin meningkat dan berisiko menjejaskan produktiviti negara dan kualiti hidup rakyat.

Ketua Jabatan Psikiatrik Hospital Selayang, Dr Toh Chin Lee berkata daripada lebih 5,000 syarikat berdaftar di Malaysia, termasuk beberapa syarikat multinasional, hanya sebilangan kecil mengambil langkah proaktif mencipta persekitaran tempat kerja yang membantu menggalakkan kesihatan mental positif.

“Sekarang ini tugas kita sebagai pakar bukan saja menangani masalah sakit mental tetapi mempromosikan kesihatan mental yang baik untuk mencegahnya,” kata Dr Toh.

Menurut Dr Toh lagi, inisiatif kesihatan mental perlu dilakukan majikan terlebih dahulu sebelum khidmat pakar kesihatan boleh dilakukan.

“Inisiatif itu juga perlu datang daripada majikan terlebih dahulu, kita boleh sediakan khidmat pakar. Jika mereka (majikan) tidak mulakan, kita pun tidak boleh mulakan,” katanya.

Katanya, beliau setakat ini hanya dijemput oleh dua syarikat multinasional untuk berceramah mengenai kepentingan kesihatan mental yang baik.

“Untuk syarikat kecil saya faham, mereka mungkin ada kekangan tetapi syarikat-syarikat besar boleh lakukannya,” katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight baru-baru ini.

Dr Toh berkata selain melakukan perubahan infrastruktur, mengubah budaya syarikat juga boleh dilakukan dengan mewujudkan suasana tempat kerja yang kurang memberikan tekanan.

“Sebuah syarikat misalnya ada majikan turut terima pekerja dari pelbagai tahap (untuk) buat keputusan. Siapa yang ada idea yang bagus diberi peluang.

“Kita juga boleh contohi syarikat Google di Amerika Syarikat yang menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pusat senaman,” katanya.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015, kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas atau 29.2% penduduk mengalami pelbagai masalah mental.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 11.2% berbanding 2006.

Situasi ini diburukkan lagi dengan kurangnya sokongan tempat kerja.

Kebanyakan mereka yang mengalami masalah kesihatan mental bimbang akan kehilangan kerja sekiranya masalah mereka diketahui dan mengambil keputusan melengahkan rawatan, situasi yang senada dengan kajian dilakukan banyak pihak bahawa diskriminasi tempat kerja boleh memburukkan lagi keadaan pesakit.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015, kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas atau 29.2% penduduk mengalami pelbagai masalah mental. Ia merupakan peningkatan sebanyak 11.2% berbanding 2006. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2017.

Malah, dalam satu kajian dilakukan dua tahun lalu, ramai pesakit psikiatrik dilaporkan tidak mendedahkan keadaan sebenar kesihatan mereka semasa temuduga kerja kerana bimbang tidak ditawarkan kerja, kata Lim Su Lin, seorang penyelidik di Institut Pulau Pinang.

Pesakit mental juga bimbang didiskriminasi sekiranya mereka memohon cuti sakit untuk mendapatkan rawatan.

“Ada pesakit yang memberitahu majikan bahawa dia mengambil cuti sakit untuk menerima rawatan untuk depression, apabila kembali ke tempat kerja, dia diberitahu bahawa dia telah dipecat,” kata Lim.

Lim mengatakan majikan perlu didedahkan dengan kepentingan mewujudkan persekitaran positif untuk kesihatan mental dan menghapuskan diskriminasi kerana penyakit dihadapi pekerja.

“Pihak majikan di Malaysia perlu diberi lebih pendidikan supaya tidak mendiskriminasi pekerja yang menghadapi masalah kesihatan mental, sebaliknya memberi sokongan dengan membantu mereka mendapatkan rawatan.

“Saya juga sarankan agar syarikat meningkatkan usaha untuk memberikan persekitaran sesuai dan selesa untuk pekerja.

Katanya, situasi semasa yang menekan juga menjadi faktor penyumbang tekanan kepada pekerja seterusnya mencetuskan masalah kesihatan mental yang boleh menjejaskan prestasi dan produktiviti kerja.

“Kebelakangan ini, banyak faktor seperti kos sara hidup tinggi, pemberhentian kerja, harapan majikan yang tinggi boleh menyumbang kepada perkerja bertambah tertekan dan tidak dapat menjalani kehidupan seharian yang seimbang.

“Hal ini menjejaskan kualiti hidup mereka, malah akan memberi kesan kepada prestasi kerja mereka,” katanya.

Insentif kerajaan

Wujud kekangan kewangan untuk mencipta persekitaran kerja positif seperti kemudahan rekreasi dan infrastruktur serta inisiatif lain untuk menyokong kesihatan mental sehingga menyebabkan ia sukar dijalankan.

Kerajaan perlu memberikan insentif bagi menggalakkan majikan mengadakan inisiatif kesihatan mental di tempat kerja kerana tekanan dialami rakyat kini boleh menjejaskan kesihatan mental mereka seterusnya prestasi dan produktiviti kerja mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2017.

“Kita harus tahu kita (majikan) di sektor swasta terhad kewangannya,” kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan.

Disebabkan itu, perlu wujud insentif kerajaan untuk menggalakkan majikan mewujudkan persekitaran menyokong kesihatan mental.

“Ini bergantung kepada berapa banyak insentif yang boleh ditawarkan oleh kerajaan,” katanya.

Shamsudin berkata 98%  daripada ahli MEF merupakan syarikat kecil dan sederhana yang menggaji kurang 250 orang pekerja. Majikan ini mempunyai kekangan kewangan mengadakan program kesihatan mental dan menyokong kakitangan mereka.

Beliau juga tidak setuju dengan kritikan bahawa majikan Malaysia mendiskriminasi pekerja yang ada masalah mental.

“Saya rasakan keterbukaan pekerja dalam isu mental terlalu kurang. Syarikat biasa kalau tahu pekerjanya ada masalah, mereka akan cuba ambil tindakan dengan merujuk pekerja kepada pakar tertentu,” kata Shamsuddin.

“Lagipun sekarang ini saya rasa banyak syarikat menuju kepada work life balance untuk mengurangkan stress.” – 4 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen