DIPUKUL bagi kesalahan kecil adalah perkara biasa yang berlaku di kebanyakan madrasah di Pakistan, kata penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin.
Menurut Wan Ji, budaya hukuman dera di sesetengah sekolah tahfiz di sini turut diaplikasikan terutama jika pengasas atau gurunya pernah mendapat pendidikan di Pakistan.
Ia berdasarkan pengalaman beliau sendiri yang pernah menuntut di Jami’ah Farroqiah, Karachi Pakistan sewaktu berusia 16 tahun.
“Memang budaya mereka begitu kerana mereka mempraktikkan kaedah hafazan/ hafalan dalam pembelajaran.
“Jadi saya dipukul apabila tidak dapat menghafal surah al-Quran. Cikgu akan memukul saya menggunakan batang kayu sehingga berbekas tangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tambahnya, jika pelajar didapati melakukan kesalahan lebih berat seperti ponteng kelas, hukuman diterima lebih teruk.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, tidak semua tahfiz menggunakan kaedah yang sama sebagaimana pengalaman beliau bersekolah pondok di Kelantan ketika berusia 13 tahun.
“Semasa belajar di sekolah pondok di Pasir Mas Kelantan, saya tidak pernah kena pukul. Sebab itu saya katakan kebanyakan sekolah tahfiz yang memukul melampau terpengaruh dengan cara didikan Pakistan.”
Justeru, beliau menggesa penyeragaman dalam sistem pembelajaran di semua sekolah tahfiz persendirian.
Pandangan beliau ini susulan kematian pelajar tahfiz di Johor hari ini, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi yang cedera akibat dipukul pembantu warden sekolahnya.
“Sebenarnya hendak mendidik itu bergantung kepada kesedaran pelajar. Untuk membentuk peribadi pelajar ia bergantung kepada persekitaran. Tidak perlulah sampai kita nak merotan.”
Sementara itu, aktivis sosial, Syed Azmi Alhabsi menyatakan kekesalan dengan insiden tersebut.
Katanya kejadian yang berlaku kepada Thaqif membangkitkan keperluan pemantauan di sekolah tahfiz.
“Kes dera, pukul belajar sebenarnya bukan berlaku di sekolah tahfiz saja, di mana-mana pun ada termasuk sekolah biasa. Ada sahaja kes cikgu memukul pelajar.
“Tapi yang kita tahu siapa yang memantau sekolah agama ini. Bagaimana pemilihan guru dilakukan dan silibus pembelajaran digunakan.
“Saya minta ibu bapa tolonglah buat laporan polis segera jika anak mengadu atau sikap mereka berbeza terutama jika tinggal di asrama,” kata beliau.
Syed Azmi sebelum ini pernah membuat dakwaan berlaku penderaan seksual di kalangan guru di sebuah sekolah agama di Perak, yang membawa kepada penyiasatan polis terhadap pihak pentadbiran sekolah itu. – 27 April, 2017.
Komen