PROGRAM itu diberi nama “bicara rakyat”, dialog antara menteri dan rakyat.
Bagi penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI), hanya ada satu isu- nasib Taman Rimba Kiara dan cadangan pembangunan mega yang akan memusnahkan sebahagian besar kawasan rimbun hijau ibu kota itu.
Berbanding jawapan “tidak” yang tegas, Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor malam tadi sebaliknya memberikan janji manis seperti “akan melihat perkara itu” dan “kami mahu anda gembira”.
Beliau nampaknya tidak bersedia berdepan dengan persatuan penduduk yang membentangkan isu itu menggunakan slide malah menawarkan pelan pembangunan alternatif untuk penduduk rumah panjang pada sesi pertama bicara rakyat yang diadakan di pusat komuniti TTDI.
Majlis itu menarik kehadiran hampir 300 penduduk yang membangkitkan pelbagai isu dalam kawasan perumahan itu seperti bayaran parkir dan jumlah pub yang wujud sekitar kawasan itu.
Koordinator Jawatankuasa Kerja Selamatkan Taman Rimba Kiara, Leon Kay mengatakan yang penduduk menanti hampir satu setengah tahun untuk bertemu Tengku Adnan dan mengharapkan pertemuan itu berlaku lebih awal.
Koay berkata menteri nampaknya tidak bersedia dan kurang maklumat bagi membincangkan isu dibangkitkan penduduk.
“Bagus dia akhirnya berusaha (untung datang) dan kami menanti perhubungan seterusnya.
“Nampaknya dia tidak ada semua maklumat diperlukan dan tidak dijelaskan mengenai situasi itu…atau beza jenis maklumat yang dia dapat.
“Kami harap sesi ini akan berikan dia peluang untuk merenung dan mempertimbangkan perspektif lain yang ada,” kata perunding berusia 46 tahun itu.
Koay yang juga merupakan wakil Persatuan Penduduk TTDI berkata persatuan sudah mencadangkan penyelesaian mapan untuk masalah dihadapi penduduk rumah panjang berhampiran Taman Rimba Kiara.
Tengku Adnan sebelum itu mengakui kebenaran kerisauan penduduk dan mengatakan ia adalah “masalah legasi” yang perlu diselesaikan dan menjemput Koay ke pejabatnya pada waktu pejabat untuk perbincangan lanjut- cadangan yang menerima ejekan hadirin.

“Fokus kami adalah perumahan tetap untuk penduduk rumah panjang dalam kaedah yang mapan yang turut melindungi kawasan hijau yang kami ada,” kata Koay kepada The Malaysian Insight.
“Ia boleh jadi situasi menang-menang jika kita bekerjasama,”
Diana Kubilos, 56 , berkata dia gembira yang Tengku Adnan menerima beberapa isu yang dibangkitkan tetapi mengharapkan sesuatu yang lebih kukuh.
“Ada sedikit yang diselesaikan…tetapi saya rasa banyak lagi perlu diselesaikan,” katanya.
Kubilo berkata memelihara Taman Rimba Kiara adalah tentang menjaga habitat hijau dalam kota serta menghalang banjir.
“Kerajaan banyak bercakap soal pembangunan tetapi hanya di sebelah pihak.
“Mereka boleh terus membina tetapi kita perlu air kita, hutan kita kerana sungai kita adalah kawasan tadahan air.
“Mereka (kerajaan) tak sedar yang ini bukan soal Taman Tun mahu kawasan hijau. Ini soal kelangsungan hidup. Kita perlu mitigasi banjir,” katanya.
Tengku Adnan beberapa kali mengulangi yang pembangunan itu tidak akan menyentuh Taman Rimba Kiara kerana ia kawasan hutan simpan.
“Saya tak akan sentuh. Ada persepsi yang kata saya akan ambil Taman Rimba Kiara dan laksanakan pembangunan tetapi saya tak akan buat begitu,” katanya kepada hadirin.
Azlan Yaacob seorang lagi penduduk berkata dialog itu menunjukkan perkembangan positif kerana ia membenarkan penduduk berhubung dengan kerajaan dan mengharapkan lebih banyak sesi dialog diadakan di masa depan.
Menteri itu juga memberikan nombor telefonnya kepada hadirin- dua kali- menggesa mereka memberitahunya tentang apa sahaja masalah.
Tengku Adnan berkata program bual bicara itu akan diadakan sekali atau dua kali seminggu untuk mendekati penduduk bandar.
“Kami akan pergi ke Bangsar, Damansara, Setiawangsa dan beberapa tempat lagi.
“Kami sedar yang kawasan ini ada perwakilan tetapi mereka mungkin daripada pembangkang dan mereka tak peduli.
“Mereka (pembangkang) hanya pergi ke Parlimen dan borak kosong,” katanya lagi.
Persatuan Penduduk TTDI memfailkan semakan kehakiman terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan datuk bandar Kuala Lumpur mengenai cadangan pembangunan mega di Taman Rimba Kiara.
Pihak yang memfailkan semakan kehakiman itu adalah lima pengurusan apartmen berhampiran dengan Taman Rimba Kiara, Persatuan Penduduk TTDI dan penduduk di situ. – 4 November, 2017.
Komen