Tumpu khidmat kargo untuk kawal kerugian, kata kesatuan pekerja KTMB


Noel Achariam

Laporan Ketua Audit 2018 Siri 2 Disember 2019 menyatakan KTMB rugi RM2.829 bilion, antaranya disebabkan tidak bebas membuat keputusan bagi operasinya dan penggunaan aset. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2020.

KERETAPI Tanah Melayu Bhd perlu menumpukan untuk mengangkut lebih banyak kargo bagi menjana lebih pendapatan dan mengawal kerugiannya, kata Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Kereta Api Malaysia (RUM) Abdul Razak Md Hassan.

Katanya kepada The Malaysian Insight, pengendali keretapi milik kerajaan itu akan mengalami lebih banyak kerugian jika tiada kemajuan dalam struktur operasinya yang hanya tertumpu kepada perkhidmatan penumpang.

KTMB dijangka mengalami kerugian kira-kira RM100 juta bagi tahun 2019 kerana operasinya yang tidak menguntungkan sekali gus menambah kerugian terkumpul RM2.829 bilion setakat 2018.

“Kadar tambah masih tidak berubah dan tidak menjana pendapatan kerana tambang dan operasi terletak di bawah bidang kuasa kerajaan.

“Jika KTMB mempunyai lebih banyak gerabak untuk membawa kargo, maka kita mampu menjana pendapatan.”

Razak berkata hasil pendapatan daripada perkhidmatan kargo pada 2018 adalah RM128 juta.

“Keretapi kargo melakukan purata 30 perjalanan sehari. Tahun lalu saja perkhidmatan itu mengangkut enam juta tan barangan.

“Jika kita mempunyai lebih 30 keretapi baru dengan 1,200 gerabak untuk kargo, kita boleh menjana lebih RM260 juta,” kata Abdul Razak yang mewakili 3,500 ahli RUM di seluruh negara.

Razak berkata usul RUM untuk meningkatkan perkhidmatan kargonya sudah dihantar kepada kerajaan terdahulu, tetapi tiada tindakan diambil.

Laporan Ketua Audit 2018 Siri 2 yang dikeluarkan Disember tahun lepas menyatakan KTMB mengalami kerugian keseluruhan RM2.829 bilion, antaranya disebabkan tidak bebas membuat keputusan sendiri bagi operasinya dan penggunaan aset.

“Ini secara tidak langsung menyumbang kepada ketidakstabilan kedudukan kewangan KTMB kerana hanya bergantung kepada jualan tiket penumpang.

“KTMB juga terikat dengan dasar kerajaan apabila menentukan tambang,” kata Razak.

Laporan audit itu juga mendapat perkhidmatan komuter antara bandar mencatatkan kerugian antara RM39.82 juta dan RM77.76 juta dalam tempoh antara 2016 dan Julai 2018.

KTMB kini mempunyai 65 keretapi dengan 36 daripadanya masih digunakan.

16 daripada jumlah itu digunakan untuk perkhidmatan kargo.

Baki 29 keretapi lagi perlu diselenggara atau dibaiki, atau perlu dibaik pulih.

Razak menggesa Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Lembaga KTMB untuk mempertimbangkan cadangan RUM supaya menambah lebih banyak keretapi terutamanya bagi perkhidmatan kargo.

“Kami faham sukar untuk kerajaan hari ini membantu ekoran faktor ekonomi.

“Satu daripada cadangan kita adalah memajak keretapi dari negara lain. Satu lagi cara adalah mengadakan kerjasama dengan sektor swasta.

“Bagaimanapun, jika sebarang perjanjian dibuat, KTMB perlu memiliki 51% daripada perjanjian itu.

“KTMB juga perlu menjadi pengendali tunggal dan kita menolak sebarang usul untuk menjadi pengendali kedua,” katanya.

Razak berkata RUM menyokong penuh ketua eksekutif KTMB yang baru Kamarulzaman Zainal yang dilantik pada tahun lalu dan berharap beliau mampu membawa perubahan.

“Kita membangkitkan isu kepada Kamarulzaman dan beliau juga mempunyai idea yang baik.

“Kita juga mahu mengingatkan lembaga pengarah agar tidak leka dan menyokong beliau dan cadangannya untuk membuat perubahan.” – 18 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen