Mujahid gesa tindakan tegas pegawai KPM edar pekeliling haramkan Ponggal


Zaim Ibrahim

Mujahid Yusof berkata Jakim tidak mengharamkan umat Islam menyertai sambutan perayaan agama lain, sebaliknya hanya memberi garis panduan mengenai tatacara dan etika sebagai umat Islam dalam perayaan agama lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2020.

MENTERI agama Dr Mujahid Yusof mahu tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang mengeluarkan pekeliling dan menggunakan nama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengharamkan warga pendidikan menyertai sambutan Pesta Ponggal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Jakim tidak mengharamkan umat Islam menyertai sambutan perayaan agama lain, sebaliknya hanya memberi garis panduan mengenai tatacara dan etika sebagai umat Islam dalam perayaan agama lain.

“Isteri saya sendiri seorang guru di Nibong Tebal dan mereka menyambut perayaan Ponggal mengikut garis panduan yang diberikan.

“Mereka telah menyambut sejak beberapa tahun lalu. Kenapa hari ini boleh jadi isu?,” kata Mujahid pada satu sidang media di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Tegas Mujahid, Jakim tidak pernah menggunakan perkataan “haram” semasa memberikan pandangannya, seperti yang diminta daripadanya oleh Kementerian Pendidikan.

“Pekeliling itu juga diubah (daripada konteks), mereka guna perkataan ‘haram’, ‘terpaksa’, sesiapapun yang tulis pekeliling itu perlu dikenakan tindakan tegas daripada menyalahkan Jakim sahaja,” kata beliau dalam satu sidang media di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Mujahid menjelaskan Kementerian Pendidikan meminta nasihat Jakim berkenaan perayaan Ponggal pada Jun lepas selepas terdapat kebimbangan daripada kalangan ibu bapa. 

“Pakar-pakar kita tidak pernah mengatakan ia tidak boleh disambut. Kita hanya mengatakan pandangan berdasarkan perspektif Islam.

“Anda minta kami bagi. Tetapi terpulang kepada anda nak tulis dan nak beri penjelasan bagaimana,” jelas beliau.

Awal minggu ini, tular satu pekeliling Kementerian Pendidikan yang memetik keputusan Jakim yang disebut mengharamkan umat Islam meraikan sambutan Ponggal.

Surat bertarikh 13 Januari itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Adzman Talib. Surat itu merujuk keputusan Mesyuarat Panel Pakar Syariah pada April 2019.

Pekeliling itu menggariskan beberapa syarat yang diputuskan oleh pakar syariah seandainya orang Muslim terpaksa hadir Pesta Pongal.

Pekeliling yang tular itu menyebabkan pelbagai pihak mengkritik Kementerian Pendidikan dan Jakim, termasuk badan penganut Hindu.

Kementerian Pendidikan kemudian menjelaskan ia tidak pernah menghalang masyarakat Islam untuk menyertai perayaan tersebut dan pekeliling itu bertujuan mengurangkan kebimbangan ibu bapa pelajar Islam. – 17 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen