Belas ihsan untuk kesihatan Rohingya di Cox's Bazar


Jahabar Sadiq

Pelarian Rohingya menerima rawatan perubatan ditawarkan MERCY Malaysia di Klinik B19 Balukhali, salah sebuah klinik paling dalam terletak dalam kem pelarian di Cox's Bazaar, Bangladesh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Jahabar Sadiq, 4 November, 2017.

KEBANYAKAN pelarian Rohingya yang lari meninggalkan Myanmar masuk ke Bangladesh tidak hanya datang sehelai sepinggang.

Mereka membawa bersama trauma, yang ternampak dan terselindung daripada pandangan mata kasar. Ada sejumlah penyakit yang membelenggu mereka — cirit-birit, gastrik, influenza, penyakit kulit dan kurang zat makanan.

Pada minggu pertama terdedah kepada persekitaran terbuka sebelum mendapat tempat perlindungan bekalan asas makanan, mereka yang memerlukan rawatan kesihatan segera seperti luka terkena peluru dan penyakit utama akan diberikan perhatian.

Selepas itu, pertubuhan masyarakat, pasukan bantuan perubatan dan kecemasan menanggung beban menyediakan rawatan kepada lebih kurang 800,000 pelarian di kem Kutupalong dan Balukhali di Cox’s Bazar, dekat sempadan Myanmar.

Antara yang awal menyahut panggilan krisis kemanusiaan yang masih belum selesai di Cox’s Bazar ialah MERCY Malaysia yang mengirimkan pasukan pertamanya pada 9 September, dua minggu selepas keganasan pertama meletus di Myanmar dan mencampakkan ribuan warga Rohingya ke Bangladesh sebagai pelarian.

Sejak itu, pasukan demi pasukan doktor yang bernaung di bawah MERCY Malaysia tiba di sini untuk menyalurkan bantuan kesihatan asas kepada pelarian di tiga buah klinik, sebuah di Kutupalong dan dua di Balukhali.

MERCY Malaysia antara organisasi kebajikan terawal menghulurkan bantuan kepada krisis kemanusiaan Rohingya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Jahabar Sadiq, 4 November, 2017.

Pasukan itu ditempatkan di Cox’s Bazar dan setiap hari berulang-alik melalui jalan dan lorong yang sempit dan berbonggol sejauh 25km dalam masa 90 minit. Ini suatu rekod kerana jalan yang sama juga sesak dengan pasukan bantuan kemanusiaan dan pelarian yang mahu memberi dan menerima bantuan.

Di Balukhali, klinik MERCY Malaysia ditempatkan di dua khemah kecil dan sempit — sebuah terletak dekat dengan pintu masuk utama dan pasar di kem itu manakala sebuah lagi agak ke dalam untuk memberi layanan kepada pelarian yang sudah menukar hutan dan bendang menjadi deretan pondok daripada lumpur, buluh dan kanvas.

Di Kutupalong, kliniknya di sebuah madrasah yang hanya dibuka pada sebelah pagi. Ruangnya besar tetapi jumlah pelariannya juga lebih ramai berbanding di Balukhali.

Tetapi doktor sukarelawan itu tidak hanya berkhidmat di klinik. Hari mereka bermula sejak malam sebelumnya, menyusun dan menyiapkan ubat-ubatan, vitamin, pembalut luka dan segala yang diperlukan di klinik kesihatan asas di lapangan.

Kemudian ada taklimat dan waktu tidur yang singkat sebelum fajar menyingsing dan hari yang panjang pun bermula dengan memuatkan bekalan naik ke van-van yang disewa daripada rakan kongsi tempatan — Coast Bangladesh.

Menoleh ke belakang, perjalanan ke kem-kem itu barangkali bahagian yang paling singkat dalam aktiviti harian mereka. Klinik-klinik itu sesak, terutamanya di khemah yang digunakan oleh MERCY Malaysia kerana ruang adalah tempat mewah di kem pelarian.

Kanak-kanak dan wanita adalah kelompok pelarian terbesar yang melarikan diri ke Bangladesh selepas keganasan tercetus di Negeri Rakhine, Myanmar yang disifatkan PBB

Ada misi bantuan yang lebih mapan tetapi tidak banyak yang dapat menandingi MERCY Malaysia dalam menyediakan bantuan rawatan kesihatan kepada pelarian.

Doktor-doktor sukarelawan bekerja sepanjang hari, berhenti hanya untuk minum air kerana bahang panas dalam khemah kecil yang penuh dengan pelarian yang mahukan rawatan.

Beberapa kes terpaksa dirujuk ke hospital tetapi kebanyakannya ditangani di klinik itu oleh para doktor dan petugas tempatan yang berusaha untuk menyembuhkan mereka dan meneruskan hidup sebagai pelarian.

Tidak banyak orang yang mahu keluar dari zon selesa untuk pergi sampai ke Bangladesh bagi membantu pelarian Rohingya.

Tetapi doktor dan petugas perubatan ini sudah melakukannya, walaupun hanya memberikan bantuan kesihatan asas di sebuah negara yang sering dilanda bencana alam dan kini menjadi tuan rumah kepada mereka yang lebih menderita yang datang memohon bantuan.

Tugasan dua minggu itu adakalanya meruntun perasaan kalau pun tidak melelahkan badan.

Suasana di Balukhali, Cox's Bazaar, Bangladesh yang menempatkan lebih 800,000 pelarian Rohingya dalam krisis kemanusiaan terburuk sedang berlaku di dunia sekarang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Jahabar Sadiq, 4 November, 2017.

Mereka bertemu dengan pesakit, mengenal pasti apa sakitnya dan memberikan ubat yang banyak berbanding yang diberikan di Malaysia.

Mereka juga berurusan dengan orang dalam bahasa yang tidak difahami oleh kebanyakan rakyat Malaysia, dalam dialek tempatan yang menjadikannya lebih sukar.

Tiga puluh minit di klinik dalam khemah itu boleh membuatkan orang yang waras jadi gila di tengah tangisan dan teriakan. Tetapi doktor MERCY Malaysia menjalankan tugas dengan penuh sabar.

Mereka juga mengharungi kepayahan di sebuah negara asing semata-mata untuk memberikan bantuan kesihatan dan harapan kepada yang sangat-sangat memerlukannya — warga dunia yang paling tidak dikehendaki iaitu Rohingya.

Ia suatu tugas, suatu tanggungjawab dan pada akhirnya, belas ihsan kepada yang memerlukan bantuan. – 4 November, 2017.

* Jahabar Sadiq menyertai pasukan perubatan MERCY Malaysia ke Cox’s Bazar pada Oktober 2017. Beliau mengendalikan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen