Mahkamah Sabah, Sarawak guna teknologi AI bantu hakim jatuh hukuman


Desmond Davidson

David Wong Dak Wah (kanan) berkata teknologi itu sudah bersedia dan akan digunakan dalam perbicaraan apabila prinsip asasnya sudah bersedia. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Januari, 2020.

MAHKAMAH di Sabah dan Sarawak akan menjadi dua negeri pertama di negara ini yang menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu hakim membuat keputusan dalam menjatuhkan hukuman.

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah yang melihat keperluan pengenalan aplikasi itu, berkata teknologi itu sudah bersedia dan akan digunakan dalam perbicaraan apabila prinsip asasnya sudah bersedia.

Beliau berkata prinsip asas itu mungkin boleh disiapkan minggu depan selepas pelancaran aplikasi itu diadakan pada majlis pembukaan tahun perundangan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak hari ini.

Ketua Kehakiman Tengku Maimun Tuan Mat yang hadir menyaksikan pelancaran itu, berkata tiada sebab untuk menolak jika ada teknologi baru yang sedia ada boleh membantu membuat keputusan secara berkesan.

“Namun sudah pasti kita tidak boleh bergantung kepada teknologi 100%. Perlu ada elemen manusia juga.”

Terdahulu, Wong dalam ucapannya berkata teknologi AI mahkamah untuk data hukuman bertujuan membantu hakim dan majistret menganalisis hukuman yang dijatuhkan kepada tertuduh.

Beliau berkata aplikasi itu akan membantu mengurangkan jurang hukuman dan memastikan setiap hukuman yang dikenakan adalah konsisten.

“Teknologi sentiasa berubah dan pihak kehakiman di Malaysia Timur sedar tentang fakta ini.

“Kewujudan teknologi AI dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) tidak boleh diketepikan oleh pihak kehakiman dan perundangan.

“Kerjaya perundangan juga tidak boleh mengabaikan kewujudan AI kerana ia bukan satu pilihan,” katanya. – 17 Januari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen