IA satu pekerjaan yang berisiko tinggi tetapi untuk gembala Muhammad Sakri Mohd Shadan, menjaga gajah menjadi minatnya sejak menyertai Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah pada 2006.
Anak jati Pahang berusia 39 tahun itu berkata ia bukan tugas mudah kerana setiap gembala pastinya mengalami kecederaan dalam pelbagai bentuk berbeza.
“Kadangkala kali takut dengan gajah liar yang diselamatkan dari hutan.
“Tetapi biasalah kalau cedera dalam kerja ini. Kadangkala tidak sengaja tetapi kami semua pernah cedera kerana dipukul atau ditolak oleh gajah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pusat itu pada masa ini menempatkan 33 gajah yang diselamatkan dari seluruh semenanjung, dan ada dua daripadanya yang dibawa dari Myanmar dan India bagi membantu dalam latihan gajah liar.
Terdapat 20 gembala yang melatih dan memulihkan gajah di pusat itu.

Sakri berkata beliau menyertai pusat itu 14 tahun lalu dan gembira kerana tugasnya ialah menjaga dan menyayangi haiwan besar itu.
“Pada mulanya tidak mudah kerana kami tidak dibenarkan mendekati gajah tanpa pengawasan senior kami.
“Saya ambil masa tiga bulan untuk biasakan diri dengan mereka. Masih ada rasa takut, tetapi kami perlu jadi berani.
“Lebih lama masa kita dengan mereka, lebih rapat kita nanti.
“Paling penting ialah ikut prosedur operasi standard.
Sakri berkata beliau jadi rapat dengan gajah dan haiwan itu yang dalam jagaan menjadi seperti rakannya.
Menurut Perhilitan, pada masa ini terdapat 2,000 gajah di semenanjung dan 2,500 lagi di Sabah dan Sarawak.
Selain menjaga gajah, Sakri juga sebahagian daripada pasukan penyelamat gajah.
Katanya, beliau pernah menyertai lebih 20 operasi menyelamatkan dan memindahkan gajah.
“Kami kena sentiasa berjaga-jaga bila masuk hutan untuk mencari gajah liar.
“Memang takut kerana apa pun boleh berlaku. Tetapi, keyakinan itu terbentuk selepas bertahun-tahun melakukannya.”
Sakri berkata pusat itu menyediakan pendidikan untuk mereka yang mahu tahu tentang gajah.
Sepanjang 30 tahun lalu, pasukan itu membantu memindahkan 900 gajah dari hutan.

Seorang gembala veteran, Saudi Sidik berkata mereka juga memohon untuk mendapatkan tambahan elaun risiko bagi gembala.
“Sudah ada elaun risiko untuk semua staf di sini termasuk bahagian pentadbiran dan mereka yang mengendalikan kaunter.
“Tetapi kami fikir gembala yang berinteraksi dengan gajah sepatutnya dapat lebih sedikit kerana kerja ini lebih berisiko tinggi.”
Tahun lalu, pusat itu menerima kunjungan lebih 200,000 pelawat. Pelawat berpeluang melihat gajah berkeliaran, kawasan bersenam dan haiwan itu mandi di sungai dalam pusat itu.
Turut disediakan persembahan video menunjukkan bagaimana gajah dipindahkan dan pelawat turut berpeluang memberi makan kepada haiwan itu.
Pelawat Liza Azizi, 34, dari Selangor berkata beliau teruja dengan tempat perlindungan gajah itu.
“Ini kali pertama saya ke sini dan saya tidak tahu pun tempat ini wujud.
“Saya dengar tentangnya daripada rakan dan menakjubkan untuk melihat gajah sedekat ini, tidak seperti di zoo.” – 25 Januari, 2020.
Komen