KAMI perlukan lebih ramai gembala – ini permintaan daripada penjaga gajah di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah di Pahang kepada pihak berkuasa.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, beban kerja mereka bertambah kerana semakin banyak gajah diselamatkan dari hutan.
Mereka berkata walaupun pada masa ini mereka dapat mengendalikan operasi menjaga 33 gajah di pusat itu, keadaan tentu lebih baik jika ada tambahan pekerja.
Gembala gajah, Saudi Sidik, 59, yang menyelamatkan dan memulihkan gajah sejak 40 tahun lalu berkata tambahan penjaga akan mengurangkan beban mereka.
“Pada masa ini ada 20 gembala. Menurut prosedur operasi standard (SOP), untuk setiap gajah perlu ada dua gembala.
“Ini bagi memastikan keselamatan gembala dan untuk menjalankan tugas menjaga gajah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Saudi berkata tidak ada kekurangan dalam permohonan untuk menjadi gembala gajah kerana ramai yang sanggup melakukan kerja itu.
“Kami terima banyak permohonan dan kebanyakan dari belia di Pahang dan seluruh negara.”
Pusat itu pada masa ini menempatkan 31 gajah yang diselamatkan dari seluruh semenanjung. Dua lagi gajah dibawa masuk dari Myanmar dan India untuk membantu dalam melatih gajah liar.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) menubuhkan pusat itu pada 1989. Ia juga menjadi tempat pasukan penempatan semula gajah, yang memulakan penukaran gajah sejak 1974.

Peranan pasukan itu ialah mengesan, menundukkan gajah dan memindahkan gajah bermasalah dari kawasan di mana mereka menceroboh perladangan ke habitat yang bersesuaian di seluruh negara, termasuk Taman Negara.
Sepanjang 30 tahun lalu, pasukan itu membantu menempatkan semula 900 gajah dari hutan.
Menurut Perhilitan, pada masa ini terdapat 2,000 gajah di semenanjung dan 2,500 di Sabah dan Sarawak.
Pada masa ini ada tiga taman perlindungan gajah di bawah Perhilitan. Dua lagi di Terengganu dan Johor.
Semakin banyak gajah diselamatkan
Penolong pengarah pusat itu Isma Hamidah Ismail berkata jumlah gajah yang diselamatkan semakin bertambah, menyebabkan penambahan gembala amat diperlukan.
“Bukan Perhilitan hentikan pengambilan gembala. Tetapi lebih baik jika kami boleh dapat lebih ramai gembala. Pengurusan atasan sedang mempertimbangkannya,” katanya.
Pusat itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan juga bergantung pada bantuan orang ramai.
“Kos tahunan operasi pusat ini antara RM5 juta RM6 juta.
“Setiap operasi menyelamatkan gajah kosnya antara RM30,000 hingga RM50,000,” kata Isma.
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, Isma berkata mereka menjangkakan kenaikan 5% kunjungan pelawat tempatan dan antarabangsa.
“Tahun lalu kami terima 215,742 pelawat. Kami jangkakan ramai lagi tahun ini terutamanya pada Hari Gajah Sedunia pada Julai.
“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan untuk mempromosikan tempat ini kerana semua promosi di bawah mereka.”
Antara tarikan di pusat itu ialah gajah betina yang berjaya diselamatkan bernama Eli yang bergerak dengan bantuan kaki palsu.
Eli diselamatkan pada 2016 selepas mengalami kecederaan akibat daripada perangkap berdawai yang dipasang oleh pemburu haram di Jeli, Kelantan. – 25 Januari, 2020.
Komen