RAKYAT Malaysia sukakan perayaan tetapi semua orang berhak mengamalkan ajaran agama masing-masing, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, walaupun rakyat diberikan kebebasan mengamalkan agama mereka, ia tidak boleh dijadikan pertandingan antara satu sama lain.
“Ada banyak agama di sini. Rakyat ada hak mengamalkan agama mereka, tetapi kita tak boleh cuba bertanding antara satu sama lain….seperti siapa lebih tinggi, siapa lebih besar dan semua itu,” katanya selepas pelancaran Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Berhad di Kuala Lumpur, pagi tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pekeliling pihak berkuasa agama dan Kementerian Pendidikan mengharamkan orang Islam menyambut pesta Ponggal.
Pekeliling bertarikh 13 Januari itu dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri menjelang sambutan perayaan itu, yang menurut kementerian adalah haram untuk orang Islam terlibat kerana Ponggal adalah perayaan penganut Hindu.
Pekeliling ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Adzman Talib berdasarkan nasihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berkata Kabinet memutuskan yang sambutan kebudayaan wajar melibatkan dan diraikan semua rakyat Malaysia sebagai bukti perpaduan masyarakat.
Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat dipengerusikan Dr Mahathir selepas wujud kebimbangan berkaitan dengan penglibatan orang Islam dalam perayaan bukan Islam.
Menurut Menteri Mujahid Yusuf Rawa pula, Jakim tidak pernah menghalang orang bukan Islam menyambut perayaan mereka, tetapi orang Islam perlu mematuhi beberapa peraturan agama mereka.
Mujahid berkaya surat ditulis Jakim kepada Kementerian Pendidikan menggariskan protokol untuk dipatuhi orang Islam ketika hadir perayaan Ponggal.
“Saya mahu tekankan yang Jakim tidak pernah mengharamkan perayaan sesiapa. Tetapi, ada prosedur perlu dipatuhi orang Islam yang hadir majlis ini.
“Dalam surat kepada Kementerian Pendidikan, kami (Jakim) hanya menyatakan apa yang boleh dilakukan orang Islam di majlis itu,” katanya. – 16 Januari, 2020.
Komen