PASUKAN khas untuk menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh dan pengasas Perlis Hope Amri Che Mat meminta lebih masa diberikan untuk melengkapkan siasatan, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, kementeriannya bersetuju untuk melanjutkan masa sebagaimana yang diminta pengerusi jawatankuasa berkenaan.
“Saya dimaklumkan mereka memerlukan sedikit masa lagi. Saya rasa sebulan atau lebih, sebagaimana yang mereka minta.
“Pengerusi jawatankuasa (Abd Rahim Uda) meminta kementerian untuk beri kebenaran, yang mana kami bersetuju,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya, hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau berharap kementerian akan mendapat laporan berkenaan pada masa yang ditetapkan kerana telah diberi masa tambahan.
“Saya harap dalam masa sebulan atau lebih, mereka akan lengkapkan draf laporan dan menghantarnya kepada kementerian,” katanya.
Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, pada 13 February, 2017.
Amri pula dilaporkan hilang pada 24 November, 2016 selepas meninggalkan kediamannya di Kangar, Perlis.
Siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tahun lalu membuat kesimpulan bahawa mereka adalah mangsa kehilangan paksa, dan mendakwa Polis Cawangan Khas sebagai dalangnya.
Susulan dapatan itu, kerajaan menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kehilangan dua aktivis berkenaan. – 16 Januari, 2020.
Komen