Populariti WeChat jadi asas China pengaruhi pilihan raya negara lain, kata laporan


Chan Kok Leong

WeChat kini dianggap platform salah maklumat berbahaya yang boleh digunakan China untuk mempengaruhi pilihan raya negara lain termasuk Malaysia. – Gambar AFP, 16 Januari, 2020.

PENINGKATAN penggunaan aplikasi WeChat oleh masyarakat Cina luar China dan bukan penutur Cina di negara seperti Malaysia mewujudkan asas kuat untuk campur tangan pilihan raya oleh Beijing, kata badan pemikir Freedom House.

“Reka bentuk aplikasi itu yang sudah dikritik kerana cenderung tidak mengenal pasti sumber dan kewibawaan maklumat, menambah (proses) penyebaran maklumat salah dan menjadikan perjuangan menentang berita palsu lebih sukar berbanding platform media sosial lain,” katanya dalam laporan bertajuk “Beijing’s Global Megaphone: The Expansion of CCP Media Influence since 2017”.

Laporan turut menyebut yang Parti Komunis China (PKC) mula memperhebat usaha untuk mempengaruhi kandungan berita seluruh dunia menggunakan tiga strategi utama: mempromosi naratifnya menerusi pelbagai bentuk propaganda, menghalang pandangan kritikal menerusi saringan langsung dan tidak langsung, serta mengawal sistem penyampaian utama kandungan maklumat.

PKC menggunakan gaya kempen salah maklumat dalam talian ala Rusia, menindas media arus perdana tempatan, mempolitikkan kandungan manipulasi dalam platform milik China dan melakukan usaha terlindung untuk menggambarkan China sebagai model tauladan kepada negara lain, katanya.

“Usaha parti di bawah Xi Jinping menghasilkan kesan menakjubkan dalam meningkatkan imej China di rantau utama, tetapi mereka juga berdepan serangan balas kerana wartawan, pembuat dasar, syarikat teknologi dan organisasi masyarakat sivil seluruh dunia turut melancarkan inisiatif mereka sendiri untuk meningkatkan ketelusan, mempelbagaikan sumber biaya dan melindungi kebebasan bersuara.

“Kempen mempengaruhi media global PKC mensasarkan khalayak Cina dan bukan Cina luar negara.

“Ia secara tradisinya direka bentuk untuk mencapai tiga matlamat utama, yang terbukti daripada kenyataan rasmi, analisis kandungan media kerajaan dan kejadian tertentu melibatkan pengkritik PKC.”

Walaupun media China mula memasuki pasaran baharu dan meluaskan capaian bahasanya, ia juga memasukkan pandangan rasmi kerajaan ke dalam media tempatan, kata laporan lagi.

“Salah satu kaedah yang berjaya adalah diplomat dan pegawai kanan menghantar rencana pandangan mereka atau memberikan wawancara kepada media utama asing.

“Misalnya, daripada 2014 sehingga 2017, duta China ke Argentina menulis 14 rencana pandangan dan mengadakan 10 wawancara dengan media tempatan, selain melawat balai berita media tempatan sebanyak lapan kali.” – 16 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen