BERSATU akan membincangkan penglibatan ahlinya dalam “parti dadah” esok, kata Presiden Muhyiddin Yassin.
Katanya, Bersatu mempunyai garis panduan tentang etika dan displin ahlinya.
“Perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi esok.
“Kita perlu adil. Sehingga seseorang disabitkan bersalah, dia masih tidak bersalah.
“Daripada pandangan parti, imej parti dan displin parti, kita akan putuskan esok,” katanya kepada wartawan, menambah yang mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi akan dipengerusikan Dr Mahathir Mohamad.
Seramai 17 orang ditahan dalam operasi pukul 4.40 pagi pada Isnin, termasuk seorang pegawai khas kepada menteri dalam negeri dan seorang lagi kepada menteri belia dan sukan.
Enam belas daripada 17 yang ditangkap positif methamphetamine. Mereka dibebaskan selepas kenyataan diambil, tetapi dijangka dipanggil semula apabila keputusan ujian lain diperoleh.
Dilaporkan antara yang ditangkap ialah Adhif Syan Abdullah, yang merupakan Adun Dengkil dan ketua Pemuda Bersatu Selangor.
Beliau kemudian memberitahu akhbar berada ” di tempat yang salah pada masa yang salah”, dan bersumpah untuk terus berkhidmat di kawasannya.
Sekurang-kurangnya dua pembantu menteri adalah antara 17 orang yang ditahan.
Mereka yang lain dikatakan termasuk pembantu Adhif, pembantu setiausaha politik perdana menteri, bekas pemenang gimnastik Sukan SEA Kau Git Kuar, seorang ahli perniagaan, rakan sekerjanya, dan pelajar Universiti Antarabangsa Unitar. – 16 Januari, 2020.
Komen