Laporan RCI Wang Kelian dibentang ke Kabinet minggu depan 


Ravin Palanisamy

Penemuan kem pemerdagangan orang dan kubur di Wang Kelian pada 2015 melibatkan pelarian Rohingya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2020

LAPORAN Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai penemuan kem pemerdagangan orang dan kubur pada 2015 akan dibentangkan ke Kabinet minggu depan, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau laporan berkenaan yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, telah diberikan kepada kementerian untuk dibentangkan ke Kabinet. 

Muhyiddin berkata, laporan itu akan didedahkan kepada umum sekrianya diluluskan oleh Kabinet. 

“Laporan RCI lengkap yang dihantar kepada Agong kini dikembalikan kepada kami (Kementerian Dalam Negeri).

“Kita akan bentangkan laporan itu ke Kabinet minggu depan. Sekiranya diluluskan Kabinet, barulah kita akan dedahkan kepada umum,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian berkenaan di Putrajaya hari ini.

Pendengaran RCI itu bermula pada 17 April selepas penubuhannya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari.

Seramai 48 saksi memberi keterangan pada siasatan yang berlangsung 17 hari, yang kemudiannya berlarutan selama lebih dua bulan.

Barisan tujuh panel RCI berkenaan diketuai bekas ketua hakim Arifin Zakaria dan bekas ketua polis negara Norian Mai sebagai timbalan pengerusi.

Ia diadakan bagi menyiasat penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan orang yang ditinggalkan di Bukit Wang Burma di Wang Kelian berhampiran sempadan Malaysia-Thailand pada 2015.

RCI itu antara lain akan menyemak semula semua bukti dan dokumen berhubung hasil siasatan kem penempatan sementara dan kubur berkenaan. – 16 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen