Kementerian mahu tahu jumlah pelajar pakai kasut hitam


The Malaysian Insight

Pada Oktober 2018, Kementerian Pendidikan mengumumkan pelaksanaan pemakaian kasut hitam di sekolah rendah dan menengah hanya berkuat kuasa sepenuhnya mulai 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2020.

KEMENTERIAN Pendidikan sedang mengkaji pelaksanaan pemakaian kasut dan stoking hitam di sekolah bagi mengetahui jumlah pecahan murid yang beralih daripada kasut putih, setahun selepas ia diperkenalkan pada sesi persekolahan 2019 dan diperluaskan mulai tahun ini.
 
Dalam satu pekeliling yang diedar melalui jabatan pendidikan negeri, semua sekolah rendah dan menengah diminta menyatakan pecahan jumlah murid yang memakai kasut hitam dan kasut putih di sekolah masing-masing.
 
Maklum balas tersebut diminta dalam masa seminggu, kata pekeliling bertarikh 14 Januari yang dikeluarkan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Mohd Jamil Mohamed.
 
“Kementerian berpandangan terdapat keperluan untuk melaksanakan kajian pelaksanaan pemakaian kasut hitam oleh murid berdasarkan dapatan yang diperoleh oleh pihak sekolah,” kata Mohd Jamil dalam pekeliling itu.
 
“Kajian ini perlu diselesaikan oleh pihak sekolah sebelum atau pada 22 Januari 2020.”
 
The Malaysian Insight difahamkan kajian berkenaan dibuat selepas pertemuan pegawai kanan peringkat atasan kementerian dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang memangku tugas menteri pendidikan.
 
Pertemuan melibatkan ketua setiausaha kementerian dan timbalannya, dan pemangku pengarah pelajaran.
 
Sumber memberitahu pertemuan itu berlangsung sehari selepas Dr Maszlee Malik letak jawatan menteri pendidikan pada 3 Januari lalu.
 
The Malaysian Insight juga difahamkan selain pelaksanaan kasut hitam, Dr Mahathir juga meminta kementerian menyiapkan laporan mengenai program sarapan percuma. Program itu dijadual bermula di 100 sekolah terpilih di seluruh negara, Isnin ini.
 
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Pembangunan Pendidikan) Habibah Abdul Rahim mengesahkan pertemuan, namun enggan mendedahkan butiran perbincangan mereka dan Dr Mahathir.
 
“Saya tak mahu sahkan isu itu sehingga perdana menteri sendiri sudah sahkan. Ini adalah perkara yang kementerian perlu ambil tindakan,” kata Habibah, kepada The Malaysian Insight.
 
“Ada beberapa perkara yang perdana menteri timbulkan dengan pengurusan tertinggi kementerian dan apa yang dilakukan oleh kementerian adalah untuk menghantar balik nota perbincangan tersebut kepada perdana menteri untuk beliau sahkan apa-apa yang telah pun diperbincangkan semasa sesi tersebut.
 
“Ianya supaya kita dapat secara benar (mengesahkan) apa-apa keputusan atau hasrat perdana menteri untuk kita ambil tindakan,” katanya.
 
Pada Oktober 2018, Kementerian Pendidikan mengumumkan pelaksanaan pemakaian kasut hitam di sekolah rendah dan menengah hanya berkuat kuasa sepenuhnya mulai 2021.
 
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), pentadbir sekolah, badan masyarakat dan pembekal kasut.
 
Pemakaian kasut hitam di sekolah pertama kali disebut oleh Maszlee dalam satu wawancara dengan media, lebih kurang dua bulan selepas dilantik sebagai menteri pendidikan, sebagai memenuhi “harapan ibu bapa”.

Ia bagaimanapun dikritik oleh banyak pihak sebagai remeh, dan seterusnya membayangi kepimpinan Maszlee di kementerian selama lebih kurang 20 bulan. – 15 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen