Pakatan perlu lebih masa kerana reformasi sukar, kata penganalisis


Diyana Ibrahim

Pengkaji melihat kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad erdepan dengan pelbagai masalah untuk melaksana pembaharuan, khususnya berkaitan ekonomi dan sektor kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2020.

PENGANALISIS bersetuju dengan jangkaan Dr Mahathir Mohamad bahawa kesan daripada hala tuju yang ditetapkan Pakatan Harapan (PH) untuk reformasi Malaysia hanya dalam dilihat dalam dua tahun.

Kalangan pengkaji ini melihat kerajaan berdepan dengan pelbagai masalah untuk melaksana pembaharuan tersebut, khususnya berkaitan ekonomi dan sektor kerajaan.

Pengarah Eksekutif Merdeka Centre Ibrahim Suffian berkata jangka masa dua tahun yang disebut perdana menteri itu memperlihatkan betapa serius masalah yang melingkari kerajaan.

Beliau berkata keadaan itu mencabar kerajaan kerana rakyat tidak dapat melihat bahawa usaha melaksanakan pembaharuan itu memerlukan masa, terutama dalam menangani isu kewangan negara.

“Ini kerana rakyat hanya memberi memberi perhatian kepada isu membabitkan mereka seperti isu pinjaman pelajar Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN), meneruskan pemberian wang bantuan, Bantuan Sara Hidup (BSH) dan kenaikan gaji (kos sara hidup),” katanya.

Penganalis politik itu berkata permintaan tersebut memang boleh dibuat dengan mudah namun pelaksanaannya memerlukan perubahan dalam cara kerajaan berfungsi.

Ia merupakan cabaran utama PH yang mewarisi masalah dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN), selain penentangan kelompok Melayu pembangkang, katanya.

“PH mewarisi kerajaan yang mempunyai masalah sangat serius dan berdepan cabaran operasi perbelajaan awam yang menelan hampir keseluruhan hasil kerajaan dan mereka masih perlu melaksanakan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Pada masa sama PH berdepan dengan tentangan kuat daripada pembangkang Melayu yang menggunakan isu agama bangsa dalam mengkritik kerajaan,” katanya.

Namun hala tuju perdana menteri sangat jelas dalam menangani kelemahan dan memperbaiki kecekapan kerajaan dalam melaksana polisi dan mengurus perbelanjaan dan kewangan negara.

“Cuma hala tuju itu dikaburi dengan isu politik,” katanya mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa rakyat akan sedar kerajaan telah menetapkan hala tuju negara yang betul dalam tempoh dua tahun.

Perdana menteri dalam coretan di blognya minggu lalu meminta rakyat memberikan lebih masa kepada kerajaan untuk meletakkan negara kembali ke landasan yang betul dan menyokong dasar kerajaan.

Sementara itu pengkaji di Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi menganggap tempoh dua tahun itu lebih rasional berbanding hanya tempoh setahun pentadbiran PH.

“Setahun terlalu singkat untuk membaiki segala permasalahan negara dan tiga tahun belum bermula lagi,” kata pensyarah kanan Akademi Pengajian Melayu itu.

Awang Azman berkata secara asasnya hala tuju PH boleh dilihat namun rakyat berasa perubahan yang diharapkan itu tidak berlaku dengan cepat.

Beliau berkata rakyat juga dapat melihat kerajaan menangani pembaharuan institusi dengan baik namun tidak dilaksana dengan menyeluruh seperti dijanjikan.

“Ya dalam reformasi institusi ada nampak seperti undi umur 18 tahun. Namun pelantikan jawatan utama Suruhanjaya Pilihan Raya, Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia masih tidak melalui jawatankuasa Parlimen seperti dijanjikan.

“Begitu juga (usaha mengawal) dana pembiayaan pilihan raya terus menyepi kerana dilihat kurang menguntungkan parti politik yang tidak biasa dengan cara telus dan integriti,” katanya.

Selain itu, rakyat juga melihat dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) kurang pengkhususan dan agenda pelaksanaannya tidak dapat dilihat secara menyeluruh.

“Jadi rakyat menjadi pesimis dan melihat WKB 2030 hanya akan berakhir seperti Wawasan 2020 sebagai instrumen politik untuk menangguhkan perhatian hasil kejayaan dalam tempoh kepimpinan yang ada,” katanya. – 15 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen