TMM2020 mampu tingkatkan ekonomi jika dibuat dengan betul, kata penganalisis 


Sheridan Mahavera

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 menjadi pemacu bagi ekonomi negara sekiranya ia dilaksanakan dengan betul.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Januari, 2020.

TAHUN Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) akan menjadi pemacu keperluan ekonomi tahun ini bagi menghadapi pelaburan dalam negara yang lembab dan persekitaran global yang mencabar, kata penganalisis.

Kempen ini boleh menyediakan pekerjaan tambahan dan meningkatkan keuntungan perniagaan dengan syarat kerajaan dan sekutunya dalam sektor swasta melaksanakannya dengan berkesan, kata Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC).

Ini kerana para pemain industri merasakan bahawa negara tidak memanfaatkan sepenuhnya potensi pelancongannya sementara negara jiran seperti Thailand dan Indonesia telah melonjak, kata SERC.

Perniagaan yang berkaitan dengan pelancongan seperti runcit, makanan dan minuman, penginapan dan pengangkutan bersama membentuk lebih daripada satu perempat atau 27.8% daripada pengeluaran ekonomi negara atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada 2018, satu daripada 10 pekerjaan dalam ekonomi Malaysia adalah berkaitan dengan pelancongan, kata Pengarah Eksekutif SERC Lee Heng Guie.

Menurut pengiraan oleh Kementerian Kewangan, peningkatan ketibaan pelancong sebanyak 10% akan menyebabkan peningkatan 0.033% dalam KDNK dan 0.007 peningkatan dalam pekerjaan, menurut prospek ekonomi 2020 SERC.

“TMM boleh meningkatkan sektor perkhidmatan,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

“Sekiranya kita boleh mendapatkan angka dan kesan perbelanjaan, pelancongan pasti akan mewujudkan kesan ekonomi dan pengganda ekonomi bagi ekonomi domestik.”

Kerajaan Malaysia mensasarkan 30 juta ketibaan pelancong dan berharap dapat mengumpul kira-kira RM100 bilion dalam resit pelancongan tahun ini.

TMM pada 2014 berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM72 bilion daripada 27 juta pelancong.

Tetapi sejak itu, bilangan dan pendapatan daripada pelancong menjadi tidak stabil kerana peningkatan persaingan dari jiran serantau Malaysia, menurut SERC.

Pada tahun 2017, terdapat 25.9 juta ketibaan dan menjana pendapatan RM82.2 bilion manakala 2018 menyaksikan 25.8 juta pengunjung yang membawa masuk RM84.1 bilion.

Antara bulan Januari dan September 2019, ketibaan pelancong mencapai 20.1 juta manakala hasilnya berjumlah RM66.1 bilion. – 15 Januari, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen