AMANAH gagal dalam meletakkan naratif politik Islam berikutan kekurangan struktur dan tidak membezakannya dengan PAS, kata ahli akademik.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, Amanah perlu berani untuk menyatakan ia sebuah parti pasca Islam untuk membezakan ideologinya dengan PAS.
“Parti pasca Islam boleh menjamin pemisahan kuasa, menolak sebarang bentuk diskriminasi berdasarkan agama atau jantina, dan bersuara secara jelas untuk pluralisme dan kesaksamaan antara lelaki dan wanita.
“Ia juga boleh mempertahankan hak-hak minoriti sama ada mereka adalah minoriti Islam seperti Syiah atau minoriti dari agama yang berbeza,” kata pengasas dan pengarah eksekutif Islam Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa.
Beliau berkata walaupun Dr Dzulkefly Ahmad banyak menulis mengenai topik itu ketika dia berada dalam PAS, beliau kini “terlalu sibuk” dengan tugasnya sebagai menteri kesihatan.
“Nampaknya Amanah telah kehilangan pemimpin intelektualnya yang boleh merumuskan naratif baru politik Islam ini,” kata Farouk, seorang ahli akademik di Universiti Monash, kampus Malaysia.
“Kami tidak pernah mendengar mana-mana pemimpin mereka bercakap tentang pasca-Islamisme sedangkan idea ini adalah salah satu sebab utama mereka digulingkan dari PAS.”
Farouk berkata keseluruhan idea pasca-Islamisme perlu dikemukakan sebagai naratif baru yang boleh menentang retorik negara Islam PAS.
“Pasca Islamisme pada dasarnya adalah untuk menyelaraskan demokrasi liberal dengan Islam. Pasca-Islamisme adalah pemahaman dan pengiktirafan bahawa agama dapat memberikan perlindungan di akhirat; politik adalah apa yang memberi kebajikan dalam hal ini.”
Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata kelemahan Amanah berpunca daripada kekurangan struktur politik yang sepatutnya di peringkat akar umbi.
“Bagi masyarakat Melayu di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang dan kawasan lain, politik adalah urusan harian.
“Untuk menembusi kumpulan ini, Amanah perlu membina struktur yang kukuh di peringkat cawangan seperti surau, meningkatkan kerja sosial dan komuniti mereka untuk mencabar pihak lain,” kata Mohd Yusri, yang merupakan ketua penyelidik Ilham Centre.
Beliau berkata Amanah juga perlu memberi tumpuan kepada pendekatan yang lebih praktikal berbanding dengan arahan akademik dan falsafah semata-mata yang mereka gunakan supaya Melayu Islam dapat memahami dengan lebih baik.
Walaupun, Amanah memperkenalkan konsep Rahmatan Lil Amin (atau rahmat sekelian alam), umat Islam Melayu masih merasa sukar untuk menerimanya kerana ia rumit, kata Yusri.
Rancangan Amanah untuk membawa idea sederhana menjadi lebih sukar apabila pembangkang, terutamanya PAS, memulakan pelabelan Amanah sebagai sebuah parti yang mempromosikan Islam liberal, sebuah konsep yang dibenci oleh ramai umat Islam Melayu.
“Mudah-mudahan, Amanah dapat memperkuat naratif ini dengan bajet RM10 juta yang telah diterima selepas konsep itu diluluskan oleh Majlis Raja-Raja dan Kabinet.”
Ahmad Farouk mencadangkan Amanah untuk mencontohi Rachid Ghannouchi dari Ennahda di Tunisia berhubung pendiriannya terhadap sekularisme.
“Ini ujian sama ada Amanah adalah parti pasca Islam.
“Amanah harus dapat bersuara dan jelas bahawa sekularisme adalah pelindung semua kepercayaan dan agama. Dan kita memerlukan sekularisme agar kita menjadi umat Islam sejati dalam abad ini,” katanya. – 15 Januari, 2020.
Komen