Ponggal acara budaya, kata badan Hindu


Diyana Ibrahim

Surat pekeliling Kementerian Pendidikan yang tular hari ini menyebut Pesta Ponggal adalah perayaan penganut Hindu dan haram bagi umat Islam menyertainya terutamanya upacara memasak nasi susu. – Gambar AFP, 14 Januari, 2020.

SEBUAH badan agama Hindu hairan dengan keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dikatakan melarang umat Islam menyertai sambutan Pesta Ponggal atau pesta menuai kerana ia adalah acara kebudayaan dan bukan keagamaan.

Presiden Persatuan Hindu Sangam Malaysia R S Mohan Shan berpendapat tiada salahnya jika Pesta Ponggal, yang disambut masyarakat India setiap tahun, turut diraikan oleh kaum lain di Malaysia.

“Kami tidak fikir ia salah, kami fikir ia aktiviti kebudayaan, festival kebudayaan jadi sesiapa pun boleh meraikan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Ini hak budaya, tak semestinya bila kaum lain meraikan perayaan Ponggal terus nak kata mereka dah jadi penganut Hindu, ia salah sama sekali,” katanya.

Beliau mengulas surat pekeliling Kementerian Pendidikan yang tular hari ini, yang memaklumkan keputusan Jakim mengharamkan umat Islam meraikan sambutan Ponggal.

Surat bertarikh 13 Januari itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Adzman Talib, yang merujuk keputusan Mesyuarat Panel Pakar Syariah pada April tahun lalu.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Kementerian Pendidikan dan Jakim untuk mendapatkan komen mengenai isu ini.

Surat pekeliling itu menyebut Pesta Ponggal adalah perayaan penganut Hindu dan haram bagi umat Islam menyertainya terutamanya upacara memasak nasi susu.

Surat itu juga memetik enam perkara yang tidak boleh dilakukan oleh umat Islam, jika terpaksa menyertai pesta tersebut, seperti yang digariskan oleh Jakim.

Antaranya ialah tidak terlibat  dengan apa jua ritual dan keadaan sekalipun, tidak memasuki rumah ibadat ketika upacara berlangsung, serta tidak mencaci, menghina serta memaki tuhan agama lain.

Jakim juga menetapkan adalah harus memberi ucap selamat kepada rakan dan jiran tanpa niat membelakangkan agama Islam.

Umat Islam juga dilarang memakai apa juga pakaian khas yang merujuk kepada perlambangan agama seperti pakaian sami Hindu.

Portal pro Melayu Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) pada Januari tahun lepas mendakwa ada sekolah menengah kebangsaan “memaksa” pelajar Islam terlibat dalam sambutan perayaan itu.

Sementara itu, Felo Utama Institut Kebangsaan Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Denison Jayasooria berkata tindakan Jakim itu telah keluar dari bidang kuasa badan pentadbir agama tersebut.

Katanya, keputusan Jakim mengenai agama lain adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak berpelembagaan.

“Pesta Ponggal merupakan sambutan perayaan yang disambut oleh bukan sahaja penganut agama Hindu namun Kristian juga. Ia sebagai penghargaan kepada Tuhan mereka kerana memberi hasil tuaian.

“Sebagai negara yang berbilang kaum dan agama kita sepatutnya lebih terbuka dan toleran,” katanya.

Jelas Denison, perkara itu tidak patut dijadikan isu dan Jakim sepatutnya memahami dan menghargai alasan masyarakat India meraikannya.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan juga mengiktiraf hak agama dan budaya kaum lain.

“Walaupun ada perbezaan agama di negara ini namun tidak wajar ada agama lain yang cuba bertindak paling atas menyatakan ia haram atau tidak.

“Ponggal ini merupakan perayaan budaya. Cubalah faham dan menghargai. Kita perlu menanamkan sedikit positif dalam dunia  yang disemaikan dengan kebencian,” katanya. – 14 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen