Biar mahkamah selesai kes lebih penting


The Malaysian Insight

Dalam kes Presiden PKR Anwar Ibrahim, AGC menyatakan bukti tidak mencukupi dalam tuduhan ahli politik itu cuba mencabul kehormatan bekas pembantunya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2020.

DALAM seminggu ini, Pejabat Peguam Negara (AGC) membebaskan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Azmin Ali dari tuduhan salah laku seks kerana bukti tidak mencukupi.

Dalam kes Anwar, AGC menyatakan bukti tidak mencukupi dalam tuduhan ahli politik itu cuba mencabul kehormatan bekas pembantunya setahun lalu, dan tidak dapat mendakwa sesiapa.

Dalam kes Azmin pula, pihak berkuasa tidak dapat mengenal pasti dua lelaki yang melakukan seks. Salah seorangnya didakwa sebagai orang nombor dua PKR, dalam rakaman video yang tersebar tahun lalu kerana gambarnya tidak jelas. Tiada pendakwaan juga.

AGC juga tidak menjelaskan mengenai pengadu, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang tidak didakwa atas tuduhan membuat laporan palsu berhubung kes video seks itu.

Dari segi undang-undang, keputusan AGC nampak wajar kerana bukti itu nampaknya tidak memadai untuk pendakwaan yang berjaya. Namun di mata awam, banyak yang perlu AGC jelaskan kerana ia melibatkan ahli politik.

Lagi pula, siasatan polis dan pertuduan seperti ini pernah digunakan untuk membunuh kerjaya politik banyak pihak sejak dua dekad lalu. Ketika itu, polis dan AGC menjadi alat untuk menghapuskan seteru politik.

Bagi Anwar dan Azmin, kes kedua-duanya jelas berkait dengan pertentangan politik yang berlarutan dari perseteruan dan perpecahan dalam parti.

Jika di waktu lain, tuduhan seks seperti itu pasti akan merosakkan masa depan mereka – seperti yang dihadapi Anwar sebanyak dua kali – pada 1998 dan 2008.

Tetapi mungkin ada baiknya juga dari kisah dua rakaman video itu.

Pihak berkuasa nampaknya sudah tidak berselera atau berminat untuk mengadili perseteruan politik atau perbezaan pandangan yang sepatutnya dihakimi dalam pilihan raya.

Sikap ini amat dialu-alukan dan berbeza dari 1998 ketika seks pertama kali digunakan untuk menjatuhkan seorang ahli politik.

Begitu juga untuk rakaman suara perbualan telefon Najib Razak. Tiada apa yang akan berlaku. Jika ada pun, rakaman itu mendedahkan lebih banyak lagi usaha menutup kes 1MDB. Setakat itu sahaja.

Jadi mungkin polis dan AGC boleh berusaha untuk isu lebih penting yang perlu ditangani oleh sistem kehakiman jenayah?

Untuk permulaan, apa kata jika kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat disiasat? Atau, bolehkah kesan Prasana Diksa dikesan atau mendakwa pegawai yang menembak mati tiga lelaki di Rawang baru-baru ini.

Mahkamah perlu selesaikan kes sebegini, bukan dijadikan medan untuk ahli politik menjatuhkan satu sama lain dengan tuduhan seks. – 14 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen