PERALIHAN kuasa perdana menteri merupakan faktor kritikal yang akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi, kata pakar ekonomi.
Lee Heng Guie berkata ini disebabkan pelabur asing dan swasta sentiasa memantau siapa yang mengambil alih kuasa perdana menteri dan sama ada dasar serta hala tuju yang diikuti sepanjang 20 bulan lalu akan diteruskan.
“Pelabur dan perniagaan mahukan 3C - clarity, consistency and continuity (kejelasan, ketekalan dan kesinambungan) - sambil mengekalkan persekitaran yang kompetetif dan mesra perniagaan.
“Pelabur tahu peralihan kuasa akan berlaku. Mereka ingin tahu sama ada ian jelas dan ada kesinambungan bahawa dasar sepanjang 20 bulan lalu akan diteruskan,” kata pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-ekonomi (SERC) itu.
“Apa yang sudah dimulakan mesti diteruskan.”
Peralihan kuasa dari Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim yang dijangka berlaku pada tahun ini akan menjadi penentu hala tuju kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15.
Dr Mahathir sebelum ini berkata akan menyerahkan jawatan kepada Anwar pada November tahun ini selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).
Persidangan tersebut akan berlangsung di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin dalam PKR yang dipimpin Anwar mahu peralihan kuasa dilakukan lebih awal iaitu pada Mei. – 14 Januari, 2020.
Komen