DR Mahathir Mohamad mempertahankan kritikannya terhadap India yang didakwa menyebabkan republik itu menghentikan eskport minyak sawit dari Malaysia.
Walau bimbang eksport komoditi itu terjejas, perdana menteri menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap perkara yang salah seperti dalam isu undang-undang kewarganegaraan India.
“Sudah tentu kita bimbang dengan perkara itu (India henti beli minyak sawit Malaysia), kerana kita jual minyak sawit yang banyak kepada India. Tetapi kita juga harus jujur, bila ada kesalahan kita kena tegur.
“Jika kita biarkan perkara yang salah terus berlaku dan hanya memikirkan soal duit, banyak perkara yang salah akan dilakukan oleh kita dan orang lain,” kata Dr Mahathir.
Jelas Dr Mahathir, kerajaan akan mencari jalan penyelesaian bagi menangani isu eksport kelapa sawit ke India.
“Ya, kerajaan akan mencari jalan penyelesaian tetapi apa yang berlaku di India mencetuskan rasa tidak senang kepada rakyat mereka dan juga di seluruh dunia.
“(Rakyat) beranggapan adalah salah untuk (pemerintah) mendiskriminasi sesiapa sahaja,” katanya.
Beliau mengulas laporan yang menyebut pengimport India menghentikan pembelian minyak sawit Malaysia, susulan kritikan Dr Mahathir bulan lalu ke atas undang-undang kewarganegaraan India.
Undang-undang baharu yang mendiskriminasi orang Islam itu mencetus bantahan meluas di seluruh India.

Selain itu, Dr Mahathir juga lantang mengkritik pendudukan dan kegiatan ketenteraan India di wilayah Kashmir, seperti dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Reuters semalam melaporkan, New Delhi megeluarkan amaran kepada pengimportnya untuk menyekat produk sawit Malaysia.
Pada masa ini, pembeli dari India tidak membuat apa-apa pembelian dari pembekal utama Malaysia, lapor agensi itu.
Syarikat penapis minyak kelapa sawit India dilaporkan menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia sejak Oktober.
Pembeli dari India khuatir kerajaan India akan menaikkan cukai import atau menguatkuasakan langkah lain untuk membendung import dari negara Asia Tenggara.
Tindakan itu dijangka mampu memberikan kesan kepada simpanan minyak sawit Malaysia dan harga pasaran kerana India merupakan pembeli utama komoditi itu.
Menteri Industri Utama Teresa Kok bagaimanapun menafikan India melancarkan boikot ke atas minyak sawit Malaysia.
Beliau memberitahu Bernama, pembeli dari India sebaliknya mahu meningkatkan jumlah import minyak sawit mentah dan mengurangkan eksport minyak sawit bertapis.
Susulan kritikan Dr Mahathir, Rakyat India juga mula berkempen di media sosial untuk memboikot produk Malaysia.
Pada 2018, eksport minyak kelapa sawit Malaysia ke India bernilai RM6.84 bilion. – 14 Januari, 2020.
Komen