WAKIL rakyat PKR semalam sekali lagi bercakap tentang keperluan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa kepada presiden parti itu Anwar Ibrahim pada Mei.
Walaupun Anwar berkata isu peralihan kuasa perlu diserahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), ahli Parlimen William Leong, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen berkata penyerahan pada Mei amat penting untuk kelangsungan gabungan itu pada pilihan raya umum akan datang.
“Kami fikir Dr Mahathir mampu melonjak ekonomi tetapi ia tidak berlaku,” kata Wong Chen pada forum bertajuk “Perlukan Malaysia tunggu hingga November untuk peralihan kuasa?” di Bangsar semalam.
Walaupun PH menyalurkan kembali kira-kira RM37 bilion kepada perniagaan menerusi cukai pendapatan dan pembayaran balik GST dalam Belanjawan 2019, pelaburan tempatan kekal lemah, kata Wong.
“Ini kerana pelabur tempatan tidak pasti tentang kepimpinan jangka pendek. Pelabur tempatan bertanya adakah Dr Mahathir akan menyerahkan kuasa,” kata ahli Parlimen Kelana Jaya itu.
“Jika kita boleh tetapkan tarikh sekarang, ia akan beri keyakinan kepada pelabur tempatan untuk menyediakan lonjakan kedua kepada kepenggunaan domestik yang kukuh.”
Disember lalu, Dr Mahathir mengulangi janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada November.
Wong berkata ekonomi hanya disokong oleh kepenggunaan domestik yang kukuh. – 14 Januari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen